Mengapa Mudah Sangat Menilai Urusan Agama Sebagai Perkara Remeh ?

Penulis : Mohd Hairi Bin Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial – Universiti Malaysia Sabah)
 
Di kalangan umat Islam ada segelintir pihak yang terlalu bermudah-mudahan dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara yang bersangkutan dengan urusan agama. Pada mereka, membicarakan permasalahan agama terutamanya yang berkaitan dengan perkara yang dianggap sebagai furu’ (cabang) adalah perkara remeh yang tidak sepatutnya diberi ruang untuk diperbincangkan, kerana kononnya tindakan tersebut dikhuatiri boleh mencelarukan keadaan dan mengancam keharmonian masyarakat – sungguhpun – sesuatu yang dipandang sebagai perkara "furu’" dan "remeh" tersebut telah jelas akan pelarangannya di sisi syarak, bahkan secara terangan-terangan ia turut disentuh oleh agama sebagai perbuatan yang boleh membawa si pelakunya kepada perbuatan dosa sebagaimana yang dapat dilihat berdasarkan kepada keterangan beberapa riwayat atau hadis-hadis Rasulullah saw.

Oleh itu, pada kesempatan ini, penulis cuba menganalisa sikap sesetengah pihak yang terlalu suka memandang kecil urusan agama secara membuta tuli tanpa mengambil pertimbangan yang sewajarnya. Dengan membawa hujah-hujah ilmiah, penulis akan membuktikan bahawa tidak kesemua perkara yang kelihatan sebagai perkara kecil dan remeh itu adalah perkara "enteng" sehingga boleh dibiar dan diperlekehan begitu sahaja. Justeru, tujuan makalah ini ditulis adalah tidak lain hanyalah semata-mata untuk mengajak para pembaca sekalian agar sama-sama memuhasabah diri supaya dengan kesedaran ini sikap suka memandang enteng perkara agama tidak lagi membudayai dalam diri setiap individu muslim. Ini adalah suatu yang amat mustahak untuk diketengahkan kerana jika sikap dan mentaliti seperti ini tidak ditegur dan diubah, penulis amat yakin akan muncul terlalu banyak lagi masalah agama yang sepatutnya diberi perhatian serius akan terabai dan terpinggir begitu sahaja tanpa adanya usaha untuk mengembalikannya semula kepada kedudukan yang sebenar sesuai dengan kehendak Allah swt dan Rasul-Nya.   

Ketegasan Rasulullah SAW Dalam Mempertahankan Ketulenan Inti Ajaran Islam      

Suatu perkara yang perlu kita renungi bersama berhubung dengan ajaran agama Islam adalah ia merupakan satu-satunya ajaran yang paling unik dan amat berbeza dengan agama yang lain kerana sifatnya yang syumul (menyeluruh) dan mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Rasulullah saw dalam rangka mengajak umat manusia kepada tauhid, ibadah dan akhlak islamiyyah, tidak pernah sama sekali pun memperkecilkan mana-mana bahagian dalam urusan agama mahupun sesuatu yang berhubungkait dengannya, baik yang berkaitan dengan perkara aqidah, ibadah, sosial, politik, pembangunan, ekonomi, ketahanan dan pertahanan hatta kepada perkara-perkara kecil seperti adab-adab memasuki tandas mahupun ketika menjamu makanan.               

Justeru, dalam mempertahankan kesucian dan ketulenan ajaran Islam yang dibawanya, baginda saw akan segera bertindak memperbetulkan sikap mana-mana pihak yang cuba merombak atau merubah ketulenan inti ajarannya, walaupun sesuatu perkara yang cuba di ubah itu adalah suatu yang amat kecil dan kelihatan remeh-temeh. Dalam sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anhu, katanya:  Pada pagi hari ‘Aqabah (musim haji) Rasulullah bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: ‘Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-‘Aqabah)’. Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletakkannya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: ‘ (ya!) sebesar ini! Jauhilah kamu melampau dalam agama (al-Ghulu) kerana sesungguhnya al-Ghulu telah membinasakan mereka yang sebelum kamu  (Sanad sahih – dikeluarkan oleh  al-Nasaa’i, Ibn Majah dan Ahmad. Disahihkan oleh Khuzaimah dalam Shahih Ibn Khuzaimah. (Rujuk Shahih Ibn Khuzaimah, jilid 15, ms. 276). Selain itu, Syaikh Nashiruddin al-Albani juga turut mensahihkannya dalam al-Silsilah al-Sahihah, jilid 3, ms. 278)               

Jika dilihat daripada hadis di atas, maka dapat diambil iktibar bahawa melakukan sesuatu perkara di luar batasan yang telah digariskan oleh ajaran Islam, meskipun pada pandangan kita tindakan yang diambil itu hanyalah suatu tindakan yang kelihatan kecil dan baik di sisi akal, maka ianya tetap dianggap sebagai suatu yang ditegah dan dilarang oleh Islam. Lihatlah, baginda saw mengklasifikasikan tindakan mengubah suruhan baginda sekalipun dalam hal menentukan saiz batu yang hendak digunakan untuk melontar jamrah itu adalah sebagai tindakan al-ghulu (melampaui batas) dalam agama yang boleh membawa umat kepada kehancuran sebagaimana yang telah menimpa ke atas umat terdahulu. Jika dalam perkara "remeh" yakni hanya dalam masalah penentuan saiz batu itu pun baginda saw sudah bertegas, maka bayangkanlah bagaimana agaknya reaksi baginda terhadap perkara yang lebih "besar" daripada itu seperti masalah amalan-amalan bid’ah dalam masyarakat yang sesetengahnya dianggap sebagai perkara "furu" oleh pihak-pihak tertentu? Penulis amat yakin dan percaya sudah tentunya baginda saw akan lebih prihatin dan bertegas terhadapnya.   

Kerdilnya Sesuatu Perkara Pada Pandangan Kita Tidak Harus Dijadikan  Alasan Bagi Menganggapnya  Sebagai Perkara Remeh   Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw memberi khabar kepada umatnya bahawa Allah swt akan memasukkan seseorang hamba itu ke api neraka walaupun dosa yang dilakukannya itu hanyalah perkara kecil yang sebanding dengan saiz sekerat buah tamar. Perhatikan hadis sahih riwayat al-Bukhari (hadis no: 1347, 1351 dan 3400) berikut:  Takutlah kamu akan (seksaan api) neraka walaupun kerana (dosa kesalahan sekadar) sekerat buah tamar   Selanjutnya dalam riwayat yang lain, juga riwayat Bukhari, baginda saw memberitakan bahawa hanya dengan ungkapkan satu kalimah sahaja yang dianggap berdosa disisi agama, maka seseorang itu akan disumbatkan oleh Allah swt ke neraka sebagaimana sabdanya berikut : Sesungguhnya seseorang hamba berkata (hanya) dengan satu kalimah yang tidak disedarinya yang mendatangkan kehinaan Allah yang kerananya ia memasuki neraka jahanam   

Dengan penerangan kedua-dua buah hadis sahih di atas, rasanya sudah cukup menjadi hujah dan sekaligus sebagai pengajaran bahawa tidaklah sepatutnya seseorang muslim itu dengan sewenang-wenangnya mudah melabelkan sesuatu perkara itu sebagai perkara remeh hanya semata-mata ianya dipandang sebagai sesuatu yang kecil atau kerdil.   Mengambil Sebahagian Ajaran Agama Dan Meninggalkan Sebahagian Yang Lain Menyerupai Amalan Orang-Orang Yahudi, Nasrani Dan Aliran-Aliran Kesesatan  Yang Bertopengkan Jenama Islam    

Antara prinsip asas yang ditekankan di sisi ajaran Islam, ia memerintahkan agar setiap penganutnya berusaha semampu yang mungkin untuk dapat menyempurnakan segala perintahnya sesuai dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan dicontoh oleh Rasul-Nya. Ini dilakukan tanpa mengambil kira sesuatu amalan atau perkara tersebut sama ada ianya duduk dalam perkara yang dianggap besar mahupun kecil pada pandangan kita.  Hal ini kerana, menurut perspektif ajaran Islam, tidak ada suatu pun perkara yang disentuh oleh Allah swt dan Rasul-Nya melainkan semua itu dipandang sebagai suatu perkara yang mustahak dan penting demi kemaslahatan umat manusia seluruhnya . Menyedari akan hakikat ini, maka selaku orang muslim kita hendaklah menerima sepenuhnya apa jua yang telah disampaikan dan ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya tanpa memilih-milih sebahagiannya dan meninggalkan sebahagian yang lain sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah, ayat ke – 208:   

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruhnya   

Jika kita perhatikan di dalam al-Qur’an dan al-Hadis baginda saw, akan kita temui beberapa perintah Allah swt dan Rasul-Nya kepada umat muslimin agar menghindarkan diri daripada bersikap memandang remeh kepada perkara-perkara yang bersangkutan dengan urusan agama, apatah lagi apabila ia merupakan sesuatu yang boleh mencabar kesempurnaan agama dan mencemari kemurniaan inti ajarannya. Sekali lagi ditegaskan bahawa, Islam sesuai dengan sifatnya sebagai suatu agama yang lengkap lagi sempurna tidak sesekali pernah membeza-bezakan atau memisah-misahkan mana-mana ajarannya sebagaimana golongan muktazilah yang membahagi-bahagikan ajaran Islam kepada perkara ushul yang dianggap perkara besar dan furu’ yakni perkara yang dianggap sebagai remeh dan kecil. Demikian juga, kerana ia adalah sikap yang menyerupai sikap orang-orang kafir yang hanya mengambil sebahagian agama dan meninggalkan sebahagian yang lainnya. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah, ayat 85:  Apakah kamu hanya percaya kepada sebahagian (daripada isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia dan pada hari Kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan   

Telah berkata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah:   

"…. Pembahagian suatu amalan dengan nama ‘Ushul’ dan bentuk yang lain dengan nama ‘Furu’ tidak ada asalnya daripada para sahabat – radhiallahu ‘anhum -, para tabi’in yang mengikuti mereka dengan baik dan tidak pula daripada imam kaum muslimin. Sesungguhnya, pembahagian ini hanyalah diambil daripada kaum Mu’tazilah dan orang-orang yang sealiran dengan manhaj mereka dari kalangan Ahlul Bid’ah. Daripada merekalah pembahagian itu diambil. Sehingga para fuqaha’ menyebutkannya dalam kitab-kitab mereka, sedangkan ianya adalah pembahagian yang saling bertentangan…"  – (Ibn Taimiyyah dalam kitab Majmu’ al-Fatawa, jilid 23, ms. 346-347. Dinukil daripada buku Membela Sunnah Nabawiyah, Abdul Wahab bin Bustami, terbitan Jahabersa, 2006M, ms. 196)   

Meneladani Sikap Dan Prinsip Generasi Salaf As-Soleh   

Di kalangan para sahabat, mereka tidak pernah membeza-bezakan mana-mana inti ajaran Islam yang telah diajarkan oleh baginda saw kepada mereka. Apa sahaja yang disampaikan dan diajarkan oleh baginda saw kepada mereka, mereka menerima sahaja tanpa banyak soal atau mempertikaikannya sama ada yang diajar itu duduk dalam perkara kecil atau besar. Pada mereka, semua yang dijelaskan oleh baginda saw adalah suatu perkara besar kerana mereka amat sedar bahawa semua perintah suruhan dan larangan baginda saw itu adalah amanah yang bersumberkan langsung daripada wahyu Allah swt. Firman Allah swt dalam surah al-Najm, ayat 3-4:  Bukanlah apa yang diucapkan (al-Qur’an mahupun hadis oleh Muhammad) menurut hawa nafsunya. Ucapan itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)      

Sebab itulah, pada ketika itu tidak kedengaran seorang pun dari kalangan mereka yang cuba mempersoalkan, apatah lagi memperlekehkan ajaran baginda saw. Sekiranya ada pun, mereka segera mengingkarinya lalu memperbetulkannya semula, sungguhpun perkara tersebut kecil pada pandangan manusia. Cuba perhatikan  riwayat dari Naafi’ di bawah ini :   

Seorang lelaki telah bersin di sisi Ibn ‘Umar r.a lalu berkata: "Alhamdulillah Wassalam ‘ala Rasuulillah". Ibnu ‘Umar lantas berkata: "Aku juga berkata "Alhamdulillah Wassalam ‘ala Rasuulillah" (akan tetapi) bukan begitu yang diajar oleh Rasulullah saw kepada kami (selepas bersin). Baginda saw mengajar kami agar menyebut : "Alhamdulillah ‘ala kulli haal (Sanad Sahih – dikeluarkan oleh at-Tirmidzi dalam Kitabul Isti’zan wal Adab, jilid 8, ms.8 (no:2882) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, Kitabul  Adab, jilid 4, ms. 295 (no: 7691).   

Lihatlah betapa sikap para sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’in sangat prihatin dalam memelihara kesucian agama Allah swt. Sungguhpun perkara tersebut hanyalah perkara kecil dan dianggap baik yakni sekadar penambahan kalimah selawat, namun mereka tidak memandangnya sebagai perkara "remeh" yang hanya boleh dibiarkan begitu sahaja. Sebaliknya, mereka bertegas kerana perbuatan tersebut secara terang-terangan telah merombak ajaran baginda saw dan mencabar syariat Allah swt yang maha sempurna. Prinsip dan sikap inilah yang menjadi pegangan para sahabat dan seterusnya dipertahankan oleh generasi awal Islam dari kalangan tabi’in dan tabi’ut tabi’in.

Dengan sikap dan prinsip yang sedemikian, maka akhirnya mereka telah diangkat oleh baginda saw sebagai sebaik-baik generasi umat Islam yang patut dicontohi dan diteladani oleh seluruh umat selepas peninggalan mereka sebagaimana yang telah disabdakan oleh baginda saw dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari (hadis no: 3650) , sebagaimana sabdanya: Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut at tabi’in)   Seterusnya cubalah kita bandingkan, betapa jauhnya titik perbezaan sikap antara para sahabat dengan sikap segelintir umat Islam hari ini. Sekalipun ada di kalangan mereka yang telah ditegakkan hujah dan dicerahkan segala kekeliruan mereka mengenai pelarangan beberapa amalan berdasarkan dalil-dalil syar’i oleh ahli-ahli sunnah , namun mereka tetap juga bertahan dengan hujah "kedegilan" mereka dengan ucapan yang lazim kita dengari bersama seperti :      

" …. Takpe, inikan perkara kecil, benda furu’ dan khilaf ulama’. Tak usahlah dibesar-besarkan perkara furu’ dan khilaf ini. Buat umat berpecah-belah jerr. Lebih baik kau bincang saja pasal isu-isu besar seperti masalah murtad, gejala sosial, soal perpaduan ummah dan keharmonian masyarakat. Lupakan jelah pasal benda-benda furu’ ni, buang masa kau jer !!!….  "   

"Kedegilan" mereka tidak terhenti setakat di situ, malah lebih dari itu mereka juga turut mentohmah pihak yang menegur sebagai "sempit fikiran", jumud, jahil, suka membesar-besarkan perkara furu’iyyah dan pelbagai lagi gelaran negatif berupa sindiran dan hinaan seperti puak salafi wahhabi sesat dan sebagainya. Walau bagaimanapun, pada penulis dan mereka yang mencintai kebenaran, ini bukanlah suatu perkara yang baru, bahkan ianya adalah suatu perkara yang sudah pun sekian lama disinggung oleh salah seorang ulama, Abu ‘Uthman As-Sobuni rahimahullah (499H)  sebagaimana katanya: "…

Ciri-ciri ahlul bid’ah adalah sangat jelas dan yang paling jelas adalah sikap mereka yang secara terang-terangan memusuhi dan menghina Ahl Sunnah dan Ahl Athar serta menuduh mereka dengan tuduhan yang buruk seperti Al-Hasyawiyyah (orang yang mementingkan perkara remeh-temeh), Al-Jahalah (orang yang jahil) dan Al-Musyabbihah (menyerupakan sifat Allah dengan sifat makhluk) … "- (Ismail Ibn ‘Abd Ar-Rahman Ibn Ahmad, ‘Aqidah as-Salaf wa Ashbab al-Hadith. Dinukil daripada buku Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahhabiyah, Hafiz Firdaus Abdullah, terbitan Jahabersa, 2003M, ms. 35)   

Suatu perkara yang menarik untuk dikongsikan bersama, penulis sendiri pernah mengajak beberapa pihak untuk membincangkan beberapa isu berkaitan dengan kepincangan yang sering berlaku dalam ibadah umat Islam, khususnya berhubung dengan ibadah  solat, yang pada  pengamatan penulis bukan sedikit umat Islam hari ini telah membudayai kesilapan-kesilapan tersebut dalam ibadah solat harian mereka.

Dalam perbualan ringkas penulis dengan beberapa pihak tersebut, penulis tidaklah membangkitkan beberapa amalan yang sudah sedia maklum ianya termasuk dalam perkara khilafiyyah ulama’ (masalah ijtihadiyyah) seperti kebolehan amalan membaca surah al-fatihah di belakang imam, mendahulukan tangan sebelum lutut atau sebaliknya ketika hendak melakukan sujud, persoalan mengenai amalan menggerak-gerakkan jari ketika tasyahhud, persoalan hukum mensirr atau mejahrkan bacaan basmallah pada permulaan surah al-fatihah dan sebagainya.    

Sebaliknya, isu yang cuba penulis utarakan adalah berkenaan masalah kesilapan dalam solat yang lazim berlaku di kebanyakan masjid hari ini seperti sikap mencuaikan perintah melurus dan merapatkan saf solat, mengabaikan thuma’ninah, meliarkan pandangan ketika solat dengan sengaja, cara zikir dengan sekian-sekian lafaz dan bilangan yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah saw dan sebagainya di mana semua itu telah jelas akan pelarangannya dari hadis-hadis Rasulullah saw serta lansung tidak memiliki sebarang sandaran dan hujah di sisi syarak.   

Apa yang sangat melucukan dan sekaligus membuatkan penulis merasa musykil adalah bagaimana mungkin amalan yang sudah jelas lagi bersuluh akan pelarangannya itu begitu mudah diheret kepada masalah remeh, furu’ dan khilafiyah  ulama’ yang tidak patut dibincangkan ???. Inilah natijahnya, apabila persoalan agama diperkecil-kecilkan kedudukannya sehingga ke tahap apa sahaja yang bersangkutan dengan persoalan ibadah solat semuanya dianggap sebagai perkara furu’ atau sebagai perkara remeh belaka.

Pengalaman ini mengingatkan penulis kepada kata-kata seorang tokoh muhaddith yang cukup terkenal di abad ini, Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah (1420H) :     " …. yang kita dengar tentang pembahagian Usul dan Furu’ dari setiap da’i (pendakwah) Islam pada hari ini yang tidak bermanhaj dengan manhaj Salafus-Soleh, sebagaimana yang telah kita sebutkan tentang pembahagian Lubb (isi) dan Qusyur (kulit) adalah coretan zaman yang yang akan menghancurkan kaum muslimin dan menjadikan mereka jauh dari Islam ketika mereka menginginkan untuk mendekatinya! sekarang dengan saqafah (wawasan) yang kamu miliki dan ilmu yang kamu miliki, tidak dapat membezakan Usul dan furu’? kecuali apa yang mereka maksudkan dengan Usul itu ialah masalah yang berhubungan dengan akidah sahaja dan tidak termasuk di dalamnya pekara-perkara yang berhubung dengan hukum-hukum. kalau begitu, solat yang merupakan rukun kedua, tidak termasuklah dalam Usul dan hanya termasuk dalam furu’?! mengapa? kerana solat tidak termasuk dalam masalah akidah  mahdhah!! pembahagian ini amat merbahaya sekali !!  (Majalah Salafy, edisi XIII, 1417/1997. Dinukil daripada buku Membela Sunnah Nabawiyah, Abdul Wahab bin Bustami, terbitan Jahabersa, 2006M, halaman. 197)   

Hendaklah kita sentiasa sedar bahawa orang yang suka memandang remeh persoalan agama samalah seperti mereka yang suka memperlekehkan suruhan dan perintah serta membelakangkan Allah dan Rasul-Nya. Sebenarnya, dalam persoalan agama ini, tidak ada perkara yang kecil yang boleh dianggap remeh-temeh kerana agama Islam adalah hak dan wahyu dari Allah. Setiap yang tersentuh oleh agama, tidak kiralah sama ada ia duduk dalam kategori atau perkara mana pun, semuanya adalah merupakan suatu perkara yang tetap dipandang dan dianggap besar oleh Allah dan Rasul-Nya. Justeru, siapalah kita untuk meremehkan perkara yang menjadi hak Allah dan Rasul-Nya, apatah lagi mengadakan-adakan suatu yang tidak diperintahkan dengan cara menokok tambah atau mengurang-ngurangkan dalam urusan agama-Nya?  Hanya orang-orang yang fasik, jahil, taksub, "pentaklid buta yang setia" serta mereka yang memiliki sikap ego sahajalah yang sering beralasan dan bersikap sebegitu. Akhir sekali, renungilah pesanan kedua-dua tokoh di bawah ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah (852H) dan al-Imam al-Barbahari rahimahullah (329H) untuk dijadikan sumber peringatan buat kita bersama. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah (852H):   

"…. Dan sebab (bagi) peringatan ini ialah (kerana) sesungguhnya (orang) yang mengadakan bid’ah itu kadang-kadang mengambil mudah dengannya kerana keremehan (kekerdilan) perkara itu (menurut pandangan mereka) pada peringkat awalnya, sedangkan dia tidak perasan kerosakan yang akan berlaku akibatnya… "  (al-Asqalani, Ahmad Ibn ‘Ali Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Ma’rifah, Beirut, 1379H,  jilid 13, ms. 302)   

Seterusnya al-Imam al-Barbahari rahimahullah (329H) pula berkata :    

"….Dan awasilah perkara-perkara bid’ah kecil  kerana ia akan berulang menjadi besar. Demikianlah setiap (amalan) bid’ah yang diada-adakan di kalangan umat ini, pada mulanya adalah kecil dan mirip kepada kebenaran sehingga orang yang memasukinya (melakukannya) tertipu dengannya. Kemudian dia tidak dapat lagi keluar lagi darinya (kerana sudah menjadi prinsip dan pegangan hidupnya dalam beragama, pen) dan menjadi satu agama yang dianuti sehingga menyalahi jalan yang lurus dan akhirnya terkeluar dari ajaran Islam… "  (Hasan Ibn ‘Ali Khalaf al-Barbahari, Syarh as-Sunnah, dalam ‘Ali Ibn Hasan Ibn ‘Ali Ibn ‘Abd Al-Hamid Al-Halabi,  ‘Ilm Usul al-Bida’, Dar Ar-Rayah, Riyadh, 1417H, ms. 247)    

Sekian, wallahu’alam.

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: