Berani Berkata Tidak…

Oleh: Hafiz Firdaus Abdullah

Islam bukan agama pendita yang menganjurkan kita menyendiri, sebaliknya agama sosial yang menganjurkan kita berhubungan sesama manusia. Mengucap salam, bertanya khabar, meminta tolong, menghulur pertolongan, menegur dan menasihat adalah antara hubungan yang dianjurkan Islam.

Saya cuba mengamalkan anjuran ini, enggan menjadi ulat buku atau beriktikaf di hadapan komputer sentiasa. Namun lebih kerap dari jarang, yang saya temui ialah adab perhubungan yang kurang baik, kurang senang, kurang sunnah.

Iyya! Kurang sunnah sekalipun individu yang saya maksudkan itu berkobar-kobar membela sunnah dan membasmi bid’ah. Konon. Perkara ini bukan sesuatu yang asing kerana pada masa kini seseorang itu sudah cukup dianggap “orang sunnah” jika dia sekadar tidak membaca usholli, tidak membaca doa qunut Subuh, tidak menghadiri majlis tahlil dan tidak membaca talqin di kubur. Padahal semua itu tidak sampai satu peratus dari apa yang dimaksudkan sebagai “orang sunnah”!

Antara adab perhubungan yang paling saya benci ialah kengganan seseorang untuk berkata “Tidak”! Satu perkataan yang mudah, tetapi entah kenapa amat sukar untuk diucapkan melalui lisan atau ditaip melalui SMS dan emel. Umpama “Maaf, saya tidak dapat menolong”, “Saya tidak dapat hadir pada masa yang dijanjikan”, “Saya tidak tahu jawapannya”, “Saya tidak suka suasana ini” dan sebagainya.

Daripada berkata “tidak”, mereka lebih sanggup berpura-pura, berdusta memberi pelbagai alasan dan menyusahkan orang, termasuk diri sendiri. Padahal berkata “Tidak” adalah sunnah, sebagaimana yang saya teringat dari hadis keenam kitab Riyadhus Shalihin susunan Imam al-Nawawi rahimahullah.

Secara ringkas, hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim itu menerangkan peristiwa Rasulullah SAW menziarahi Sa’ad bin Abi Waqqash yang ketika itu sakit tenat. Sa’ad bertanya “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya sakitku amat berat sedangkan aku ini seorang hartawan dan hanya memiliki seorang anak perempuan sebagai ahli waris. Bolehkah aku mensedekahkan dua pertiga dari harta saya?”

Rasulullah menjawab “Tidak”.

Sa’ad bertanya lagi “Jika seperdua wahai Rasulullah?”

Rasulullah menjawab “Tidak.”

Sa’ad bertanya lagi “Jika sepertiga wahai Rasulullah?”

Rasulullah menjawab “Sepertiga, sepertiga itu sudah cukup banyak”.

Ketika mensyarahkan hadis di atas, Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin rahimahullah berkata “Sabda Rasulullah SAW dengan perkataan “Tidak” bukanlah perkataan yang tidak sopan kerana Nabi SAW suka menggunakan perkataan “Tidak”. Demikian juga dengan para sahabat baginda, mereka suka menggunakan perkataan “Tidak”.

Ketika unta Jabir bin Abdillah sakit, Nabi SAW pernah berkata kepada Jabir “Juallah kepadaku, biar aku yang mengurusnya”. Jabir menjawab “Tidak” kepada Rasulullah dan baginda tidak mengingkari perkataan itu.

Justeru mengucapkan perkataan “Tidak” bukanlah sesuatu yang tidak sopan atau tidak beretika. Banyak di antara manusia sekarang yang enggan berkata “Tidak” tetapi lebih senang berkata “Terima kasih”. Memang perkataan itu baik tetapi jika kamu berkata “Tidak”, ia tidak mengapa dan tidak menyebabkan kecacatan adab.” Sekian perkataan syaikh, secara ringkas dan berpisah.

Sejujurnya saya suka dan selesa berhubungan dengan orang yang berani berkata “Tidak”. Bukan sahaja kerana ia menepati sunnah, tetapi amat memudahkan kerja saya. “Boleh saya datang ziarah ke rumah sebentar malam nanti?” Jawapan “Rumah saya agak semak, tidak sesuai ziarah hari ini” lebih saya gemari dari jawapan “Jemputlah” tetapi tetamu disambut dengan air muka yang tertulis jelas di atasnya “Menyibuk aje malam-malam!” Jika sejak awal dijawab “Tidak”, saya boleh membuat perancangan lain.

“Boleh tolong carikan buku ini di kedai universiti anda?” Jawapan “Saya tidak sempat minggu ini, minggu depan boleh?” lebih saya senangi dari jawapan “Tentu boleh” tetapi tunggu seminggu tiada perkembangan langsung. Jika sejak awal dijawab “Tidak”, saya boleh mencari alternatif lain untuk mencari buku itu.

Perkataan “Tidak” bukan semestinya lahir dari soalan, tetapi pengakuan diri sendiri. Umpama “Maaf, saya tidak sempat sampai pukul 10 pagi seperti yang dijanjikan. Boleh tunda ke 11 pagi?”, atau “Saya tidak menguasai subjek ini dengan baik. Saya cadang anda mencari penyemak lain yang lebih arif”, atau “Saya tidak setuju dengan pandangan ini. Lebih baik anda kaji semula.” Kejujuran dan keberanian untuk berkata “Tidak” umpama di atas membolehkan saya mencari alternatif yang lain, menyusun semula jadual yang padat dan pelbagai manfaat lain. Semuanya hanya dengan pengakuan “Tidak”. Saya yakin ramai di luar sana yang sependapat dengan saya, yakni suka lagi selesa berhubung dengan orang yang berani berkata “Tidak”.

Namun di sebalik semua ini, saya tidak boleh menjauhkan diri dari berhubung dengan orang ramai. Ini kerana Rasulullah SAW sejak awal telah mengetahui bahwa di kalangan umatnya akan ada mereka yang tidak memiliki adab perhubungan yang baik. Atas dasar ini baginda berpesan “Seorang mukmin yang bergaul bersama manusia dan bersabar atas sikapnya yang menyakitkan adalah lebih besar ganjarannya daripada seorang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar atas sikapnya yang menyakitkan.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 4032]

Sumber: Majalah I Keluaran Disember 2009

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: