Tazkirah – Muhasabah Diri

Oleh: Ustaz Muhammad Ihsan Bin Idris

Pada kali ini kita bawakan sebuah hadits dari Ka’ab bin Malik yang diriwayatkan oleh Muslim, hadits ini boleh dirujuk dalam terjemahan SHAHIH MUSLIM, JILID 4 oleh Ma’mur Daud, halaman 294-307, hadits no : 2376. Sebuah hadits yang panjang tentang kisah taubat Ka’ab bin Malik di atas kesalahan yang dilakukannya. Marilah kita hayati keratan keratan penting dari hadits ini untuk dibuat pelajaran dan teladan bagi diri kita semua.

عَنْ كَعْبِ بن مَالِك يُحَدِّثُ حَدِيْثَهُ حِيْنَ تَخَلَّفَ عَنْ رَسُوْلِ الله ص فِيْ غَزْوَةِ تَبُوْك

Dari Ka’ab bin Malik r.a., dia menceritakan tentang dirinya ketika dia tertinggal (tidak ikut berperang) dari Rasulullah saw. dalam perang Tabuk.”

Hadits ini menceritakan suatu kisah di mana Ka’ab, iaitu seorang sahabat Nabi saw. tertinggal semasa tentera Islam pimpinan Nabi saw.telah bertolak ke medan perang.

قَالَ كَعْبُ بْنُ مَالِكٍ لَمْ اَتَخَلَّفَ عَنْ رَسُوْلِ الله ص فِيْ غَزْوَةٍ غَزَاهَا قَطُّ اِلاَّ فِيْ غَزْوَةِ تَبُوْكَ غَيْرَ اَنِّيْ قَدْ تَخَلَّفْتُ فِيْ غَزْوَةِ بَدْرٍ وَلَمْ يُعَاتِبُ اَحَدًا تَخَلَّفَ عَنْهُ اِنَّمَا خَرَجَ رَسُوْلُ الله ص وَالْمُسْلِمُوْنَ يُرِيْدُوْنَ عِيْرَ قُرَيْشٍ

Kata Ka’ab bin Malik : “Aku tidak pernah tertinggal dari Rasulullah saw. dalam setiap peperangan yang di pimpin sendiri oleh beliau, kecuali dalam peperangan Tabuk. Selain dari itu, aku memang tertinggal pula dalam peperangan Badar. Tetapi tidak seorang pun dapat di persalahkan bila tertinggal ketika itu, kerana Rasulullah saw. pergi dengan maksud hendak menghendap kafilah Quraisy.”

Ka’ab menceritakan tentang kejadian beliau bersama Rasulullah saw. di dalam semua peperangan yang berlaku di waktu itu kecuali dua peperangan iaitu peperangan Badar di mana ia tidak di persalahkan atas kejadian tersebut, tetapi Ka’ab tertinggal sekali lagi di masa peperangan Tabuk. Dan pada kejadian ini dia memang bersalah. Ka’ab sebenarnya telah bersedia dari segi semangat dan kekuatannya untuk menghadapi peperangan tersebut, termasuklah dua kenderaan sebagai persediaan untuk ke medan perang dan ini adalah persediannya yang terbaiknya berbanding peperangan yang sebelumnya.

اِنِّيْ لَمْ اَكُنْ قَطُّ اَقْوَى وَلاَ اَيْسَرَ مِنِّيْ حِيْنَ تَخَلَّفْتُ عَنْهُ فِيْ تِلْكَ الْغَزْوَةِ وَاللهِ مَا جَمَعْتُ قَبْلَهَا رَاحِلَتَيْنِ قَطُّ حَتَّى جَمَعْتُهُمَا فِيْ تِلْكَ الْغَزْوَةِ

“Sesungguhnya aku belum pernah sedikit jua pun merasa diriku lebih kuat dan lebih senang dari keadaanku ketika tertinggal dalam peperangan itu. Demi Allah, aku belum pernah menyiapkan dua kenderaan kecuali untuk peperangan itu.”

Sememang hatinya benar benar ingin untuk bersama berperang di Tabuk, tidak terlintas di hatinya untuk melarikan diri atau mengelak dari menghadapinya.

فَاَنَا اِلَيْهَا اَصْعَرُ

“Sebenarnya hatiku lebih condong hendak turut berperang.”

Tetapi mengapakah ia sampai tertinggal ? Maka di sinilah kisah yang perlu kita ambil sebagai teladan supaya apa yang berlaku kepada Ka’ab itu tidak kita contohi dalam kita mengerjakan ibadah ataupun kehidupan keduniaan kerana Allah. Apa yang menyebabkan ia tertinggal dari bersama Rasulullah ke medan perang di ceritakan oleh Ka’ab :

وَطَفِقْتُ اَغْدُوْ لِكَىْ أَتَجَهَّزَ مَعَهُمْ فَاَرْجِعُ وَلَمْ اَقْضِ شَيْئًا وَاَقُوْلُ فِيْ نَفْسِيْ اَنَا قَادِرٌ عَلَى ذَلِكَ اِذَا اَرَدْتُ فَلَمْ يَزَلْ ذَلِكَ يَتَمَادَى بِيْ حَتَّى اسْتَمَرَّ بِالنَّاسِ الْجِدُّ

“Aku merancang akan berkemas bersama sama mereka besok pagi. Setelah aku pulang ternyata aku tidak berbuat apa apa sambil berkata di dalam hatiku : Aku sanggup menyelesaikannya sewaktu waktu (menangguh pada waktu lainnya)’. Ternyata hal itu berlanjutan sedemikian rupa, sedangkan orang lain sungguh sungguh telah siap.”

Iaitu di perjelaskan tentang sifat Ka’ab yang suka bertangguh untuk menyiapkan persedian keperluannya untuk kemedan perang dari satu masa ke satu masa sedangkan orang lain telah bersiap sedia.

فَاَصْبَحَ رَسُوْلُ الله ص غَادِيًا وَالْمُسْلِمُوْنَ مَعَهُ وَلَمْ اَقْضِ مِنْ جَهَازِيْ شَيْئًا ثُمَّ غَدَوْتُ فَرَجَعْتُ وَلَمْ اَقْضِ شَيْئًا فَلَمْ يَزَلْ ذَلِكَ يَتَمَادَى بِيْ حَتَّى اَسْرَعُوْا وَتَفَارَطَ الْغَزْوُ

“Besok (pada waktu) Subuh Rasulullah dan kaum muslimin berangkat pagi pagi sekali, sedangkan aku masih belum berkemas. Kerana itu aku segera pulang hendak berkemas, tetapi sampai di rumah aku tidak berbuat apa apa, sehingga seluruh pasukan (perang)telah berangkat menuju medan perang.”

Kerana sifat bertangguh itu akhirnya ia tertinggal, dan buruknya sifat bertangguh ini jelas apa bila ia telah melihat Rasulullah saw. telah mula bertolak ke medan perang pada paginya dan ia pulang untuk berkemas tetapi sekali lagi ia tertahan dengan sebab sikap suka bertangguh iaitu apabila sampai di rumah tidaklah ia melakukan apa apa untuk mengemaskan persiapan ke medan perang dan akhirnya kesemua angkatan tentera Islam pimpinan Rasulullah saw. yang begitu besar jumlahnya telah berlepas pergi. Kemudian setelah begitu lewat, Ka’ab mula berkemas untuk turut menyertai walau pun telah jauh ketinggalan.

فَطَفِقْتُ اِذَا خَرَجْتُ فِي النَّاسِ بَعْدَ خُرُوْجِ رَسُوْلِ الله ص يَحْزُنَنِيْ اَنِّيْ لاَ أَرَى لِيْ اُسْوَةً اِلاَّ رَجُلاً مَغْمُوْصًا عَلَيْهِ فِي النِّفَاقِ اَوْ رَجُلاً مِمَّنْ عَذَرَ اللهُ مِنَ الضُّعَفَاءِ

“Ketika aku mulai berkemas dan keluar hendak menyusul Rasulullah saw. alangkah sedihnya hatiku, kerana tidak seorang jua pun teman yang kelihatan olehku kecuali orang orang munafik atau orang orang lemah yang telah di maafkan Allah Ta’ala tidak ikut berperang.”
[/b]

Akibat dari sifat menangguh itu juga akhirnya apabila ia keluar dari rumahnya, yang kelihatan di luar itu adalah golongan munafik dan orang yang telah tua atau orang uzur, maka sia sialah dia sebagai seorang yang telah siap dengan semangat dan kekuatan tetapi tidak bersama Rasulullah saw. di medan perang. Ka’ab mula merasai sedih di hatinya tetapi semuanya telah terlambat. Rasulullah saw. apabila sampai di Tabuk telah menyedari ketiadaan Ka’ab, lalu baginda bertanya :

مَا فَعَلَ كَعْبُ بْنُ مَالِكٍ؟ قَالَ رَجُلٌ مِنْ بَنِى سَلَمَةَ: يَا رَسُوْلَ الله حَبَسَهُ بُرْدَاهُ وَالنَّظَرُ فِيْ عِطْفَيْهِ

“Apakah kerja Ka’ab bin Malik ?” Seorang laki laki dari Bani Salamah menjawab : “Ya Rasulullah ! Dia terhalang kerana merasa sayang pada selimutnya”

Sifat yang lazim berlaku iaitu apabila berlaku sesuatu masalah atau kesilapan maka ada manusia itu walau mengaku dirinya Islam akan menokok tambah cerita dengan rekaan sendiri yang boleh menyebabkan fitnah kepada orang lain.

فَقَالَ لَهُ مُعَاذُ بْنُ جَبَلٍ: بِئْسَ مَا قُلْتَ وَاللهِ يَا رَسُوْلَ الله مَا عَلِمْنَا عَلَيْهِ اِلاَّ خَيْرًا

Maka berkata Muadz bin Jabal : “Jahat sekali ucapanmu itu ! Demi Allah, Ya Rasulullah! Setahu kami selama ini dia adalah orang baik.”

Sepatutnya tindakan seorang Islam itu apabila saudara kita berada di dalam keadaan yang bermasalah atau melakukan sesuatu kesalahan sedangkan ia sebelum ini adalah seorang yang jujur dan beramal soleh, maka di dahulukan ingatan di atas kebaikannya dari celaan keatasnya sehingga terbukti ia bersalah. Maka sifat suka menokok tambah cerita dari kejadian yang sebenarnya itu sepatutnya di jauhi oleh seorang Islam, agar ia menjadi sebagai umat yang soleh sesungguhnya memfitnah itu adalah satu dosa dari dosa yang besar.

فَقَالَ كَعْبُ بْنُ مَالِكٍ: فَلَمَّا بَلَغَنِيْ اَنَّ رَسُوْلَ الله ص قَدْ تَوَجَّهَ قَافِلاً مِنْ تَبُوْكَ حَضَرَنِيْ بَثِّيْ فَطَفِقْتُ أَتَذَكَّرُ الْكَذِبَ وَاَقُوْلُ: بِمَا اَخْرُجُ مِنْ سَخَطِهِ غَدًا؟ وَاَسْتَعِيْنَ عَلَى ذَلِكَ كُلِّ ذِيْ رَأْيٍ مِنْ اَهْلِيْ

Cerita Ka’ab bin Malik selanjutnya : “Dikala aku mendengar berita bahawa Rasulullah saw. telah berangkat dari Tabuk hendak pulang ke Madinah, timbullah rasa takutku kerana kesalahanku tidak turut berperang. Oleh sebab itu aku berusaha mencari jalan agar akau terhindar dari kemarahan beliau. Lalu aku minta pendapat pendapat keluargaku.”

Ka’ab mendedahkan dengan ikhlas keadaannya di kala tersepit dengan masalah tertinggal ke medan perang dan suasana menghadapi kemarahan Nabi saw. apabila ia pulang. Maka timbullah rancangan untuk memberi alasan di atas kesilapannya sebagai satu cara membela dirinya dari kesilapan yang telah di lakukan. Satu keadaan yang lazim bagi kebanyakan manusia iaitu tidak mahu mengaku kesilapan diri, jika mengaku pun masih ingin mempertahankan diri dengan berbagai alasan, secara ringkasnya boleh di katakan orang yang melakukan sesuatu kesalahan itu masih berasa ia tidak bersalah. Ada yang menyalahkan masa, ada yang menyalahkan halangan dan kesempitan dan berbagai alasan lain dalam membela diri.

فَلَمَّا قِيْلَ لِيْ: اِنَّ رَسُوْلَ الله ص قَدْ اَظَلَّ قَادِمًا زَاحَ عَنِّيْ الْبَاطِلُ حَتَّى عَرَفْتُ اَنِّيْ لَنْ اَنْجُوَ مِنْهُ بِشَيْءٍ اَبَدًا فَاَجْمَعْتُ صِدْقَهُ

“Tetapi di kala aku mendengar bahawa beliau (Nabi saw.) telah tiba, maka hilanglah dari ingatanku segala fikiran buruk itu. Aku mengerti benar bahawa aku tidak akan lepas sedikit jua pun dari hukuman, walaupun dengan berbagai alasan. Kerana itu aku bertekad hendak mengaku terus terang atas kesalahanku.”

Tetapi Ka’ab berjaya melawan hasutan syaitan sehingga akhirnya ia membuat keputusan yang benar iaitu untuk mengaku bersalah kepada Rasulullah saw. dan rela menerima apa jua hukuman yang akan di berikan atas kesalahannya. Maka sebagai hukuman kepada Ka’ab, Rasulullah saw. mengeluarkan arahan supaya orang muslimin tidak bercakap, memberi salam, atau menjawab salamnya, sehingga Ka’ab merasa ia seperti tinggal di negeri asing, kejadian itu berlaku selama lima puluh hari. Untuk pagi ini kita berhenti sekadar ini dahulu dan kesimpulan yang dapat kita ambil dari keratan hadits ini adalah sifat suka berlengah, menangguh di dalam melakukan sesuatu suruhan atau amal ibadat adalah perbuatan yang buruk/jelek dan jika perlakuan itu sampai menyebabkan terluputnya solat, puasa dan amal kebajikan yang sepatutnya ia kerjakan maka bersiaplah pelakunya itu untuk menerima balasannya dari Allah di akhirat walaupun di dunia ini ia mungkin terlepas dari di pulau atau di kenakan hukuman lainnya. Maka sewajarnyalah kita sebagai umat Islam meninggalkan sifat suka bertangguh baik di dalam mengerjakan perkerjaan dunia mahu pun amal ibadah melainkan ada keuzuran syarie iaitu keuzuran yang di benarkan oleh Islam untuk menangguhkan sesuatu ibadah dan bertaubatlah di atas ketelanjuran yang lampau yang telah kita lakukan. Moga taubat kita di terima oleh Allah dan di tempatkan kita bersama orang orang yang di redhai-Nya.

* Ustaz Muhammad Ihsan Bin Idris merupakan ketua Jabatan Usuluddin & Al Quran wal hadis, Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis(IPTIPs) . Dipetik Daripada Koleksi Kertas Kerja Kuliah Subuh, Masjid Alor Ara, Arau Perlis .

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: