Lalai memelihara lidah punca bertambah dosa

http://wawandarmansyah.files.wordpress.com/2009/07/lidah1.jpg

Oleh: Lukhman Abdul Taib
(lukhman.taib@live.iium.edu.my)

Hidup di dunia era moden penuh dengan fitnah dan mehnah. Insan-insan yang baru mengorak langkah ke alam kematangan terpaksa berdepan dengan cabaran-cabaran ini. Mereka akhirnya kecewa dengan dunia yang kian parah penyakitnya, seolah-olah tidak lama lagi malaikat maut akan menamatkan riwayat dunia ini atas arahan Allah SWT.

Lihat sahaja dalam masyarakat, begitu mudah untuk kita saling berpecah hanya kerana lidah. Manusia menjadi ringan mulutnya menuduh, menghina, memfitnah dan mengumpat. Berlesenkan hak kebebasan bersuara, kehormatan saudara ditoreh begitu sahaja, ikatan persaudaraan terputus dan terbiar tanpa disambung kembali, maruah agama menjadi taruhan, seolah-olah pahala dosa adalah perkara yang remeh.

Yang lebih menghairankan, mereka yang ringan mulutnya tadi pada zahirnya sama seperti kita. Apakah mereka menyangka mereka jauh lebih mulia daripada yang lain? Atas dasar apakah mereka mengangkat diri mereka sebagai mulia?

Padahal, yang layak memuliakan dan menghinakan manusia ialah Allah SWT. Mulianya manusia di sisi Allah kerana tingginya tahap takwa dan iman mereka, walaupun dipandang rendah dan hina di mata dunia. Hinanya manusia di sisi Allah kerana rendah iman dan takwa dalam hati mereka, walaupun mereka diberikan kemuliaan keduniaan.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.” (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Demikianlah masyarakat kita pada hari ini. Kita adalah suatu masyarakat yang begitu ringan lidahnya. Bahkan, lebih menyedihkan, kita adalah masyarakat yang retorik semata-mata. Words speaks louder than works.

Umpama sebilah pisau yang tajam, terhiris sedikit pasti melukakan. Demikianlah lidah diibaratkan. Hatta, para ulama sendiri menyimpulkan lidah ini saghir al-jism kabir al-itsm (benda yang kecil tetapi besar dosanya).

Lihat sahaja, bagaimana Bani Israel mendapat laknat daripada Allah sehingga ke hari ini, dek kerana lancangnya lidah mereka. Allah SWT menceritakan: “Dan orang-orang Yahudi berkata, “Tangan Allah terbelenggu.” Sebenarnya tangan merekalah yang dibelenggu dan merekalah yang dilaknat disebabkan apa yang telah mereka katakan itu, padahal tangan (kekuasaan dan kemurahan) Allah terbuka.” (Surah Al-Ma’idah ayat 64)

Menurut Ibnu ‘Abbas, pada saat ayat ini turun, Nabbasy bin Qais, seorang Yahudi, telah mengeluarkan kenyataan di hadapan Rasulullah SAW: “Wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhanmu itu sangat kikir dan tidak mahu memberi.” (Hadis riwayat At-Thabrani)

Kerana mulut badan binasa. Sedikit sahaja ucapan kita menentukan nasib kita di akhirat. Walaupun kita mengira ucapan kita itu biasa-biasa sahaja atau ringan, tetapi tiada siapa yang tahu kerana ucapan kita itulah, akhirnya kita akan meraung kesakitan akibat dibakar hidup-hidup dalam api Neraka.

Kerana itu, Rasulullah SAW sentiasa menekankan kepentingan menjaga lidah. Banyak hadis Rasulullah SAW yang menganjurkan kita untuk mengucapkan kalimah yang baik. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW: “Kalimah yang baik ialah sedekah.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW berpesan: “Sesungguhnya Allah membenci kepada kamu tiga perkara: ‘dikatakan dan orang itu berkata’, membuang harta dan banyak bertanya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Nawawi, ‘dikatakan dan orang itu berkata’ ialah terlalu banyak membicarakan tentang perkhabaran manusia dan menceritakan sesuatu yang tidak bermanfaat, manakala ‘banyak bertanya’ ialah menanyakan perkara yang tidak berlaku dan tidak diperlukan. (Imam Nawawi, Sahih Muslim bi-Syarh an-Nawawi)

Begitu prihatinnya Baginda SAW, sehingga Baginda mengaitkan lidah dengan keimanan. Sabda Rasulullah SAW: “Dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia mengatakan perkara yang baik atau diam.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Dalam menghuraikan hadis ini, Al-‘Uthaimin menjelaskan: “Di antara faedah hadis ini bahawa diperbolehkan menafikan keimanan daripada seseorang kerana tidak sempurna (sesuatu bahagian), sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.” Menafikan iman daripada diri seseorang terbahagi kepada dua. Pertama: menafikan secara mutlak. Dengan dinafikannya iman secara mutlak, maka orang tersebut menjadi kafir dan keluar dari agama Islam.

Kedua, menafikannya secara relatif. Ini bererti bahawa orang tersebut kafir pada bahagian itu, akan tetapi asas keimanan masih ada di dalam dirinya. Inilah yang dikatakan oleh ulama Ahlus Sunnah wal Jama’ah bahawa manusia kadang kala dalam dirinya menyatukan sebahagian keimanan dan juga kekufuran.” (Muhammad bin Shalih Al-‘Uthaimin, Syarah Al-Arba’in An-Nawawiyah)

Menjaga lidah bermakna menjaga iman kita. Kelalaian kita memelihara lidah boleh membawa kita jatuh ke dalam kekufuran. Hiasilah lidah kita dengan kalimah toyyibah dan diam. Basahilah lidah kita dengan zikrullah. Semuanya adalah lambang kesyukuran kita kepada Allah SWT.

Nescaya Allah SWT menambahkan rezeki dan nikmat buat mereka yang bersyukur. Sebaliknya, Allah SWT akan menurunkan azab-Nya yang pedih buat mereka yang kufur akan nikmatnya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” (Surah Ibrahim ayat 7).

Sumber:  Da’ie Siber

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: