Ikatan didasari Keimanan bawa kebahagiaan yang berkekalan

Oleh: Lukhman Abdul Taib
(lukhman.taib@live.iium.edu.my)

Manusia tidak dapat hidup bersendirian di atas muka bumi. Penciptaan Hawa AS sebagai teman hidup Adam AS, bukti kasih sayang Allah SWT yang memahami kehendak hamba-Nya yang kesunyian, walaupun hidupnya di Syurga dilimpahi dengan kesenangan.

Insan sanggup melakukan apa sahaja, asalkan fitrah ini dipenuhi. Kenikmatan material yang dimiliki, tidak akan sama dengan kenikmatan suatu ikatan antara dua insan yang saling berkasih sayang. Hatta kenikmatan satu dunia sanggup dibayar untuk mendapatkan kasih dan sayang seorang teman.

Namun, apabila insan mengetahui kebahagiaan yang dikecapi hanyalah sementara di dunia, betapa pilunya hati mengenangkan nasib yang perlu diterima di hari kemudian. Hati terasa ngilu, seperti dihiris dengan pisau, apabila di Hari Akhirat teman “sehidup semati” menikamnya dari belakang.

Malah, ada yang lebih malang, ikatan yang dibina dikhianati sejak di dunia lagi, dikaburi dengan kata-kata yang manis. Umpama menanam tebu di pinggir bibir, suatu pihak telah dibutakan dengan janji-janji manis, walaupun wahyu Allah dan Sunnah Rasul-Nya diletak ke tepi.

Apabila temberang sudah pecah, barulah dia menyedari nilai ikatan yang dibina lebih rendah dan hina daripada sampah sarap, tidak dihargai langsung.

Apabila tiba saat itu, barulah dimengerti firman Allah SWT:

“Teman karib, pada hari tersebut (Hari Kiamat), sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagiannya yang lain, melainkan mereka yang bertakwa.” (Surah az-Zukhruf, ayat 67)

Tidak kiralah, hubungan ayah dengan anak, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, guru dengan anak murid, tanpa iman yang menjadi pasak ikatan, semuanya akan saling bermusuhan pada Hari Akhirat. Hebatnya permusuhan itu, sama seperti hebatnya ikatan yang dibina di dunia dahulu.

Generasi salafussoleh menunjukkan contoh ikatan ukhuwwah fillah yang sangat terbaik, sehingga disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi firman-Nya:

Bagi orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaan-Nya, serta menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya).

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka (Muhajirin), dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Mu.”” (Surah al-Hasyr, ayat 8-10)

Saidina Abdul Rahman bin Auf tidak pernah sekalipun mengambil kesempatan atas kasih sayang Saad bin Rabi’ untuk mengaut keuntungan peribadi. Hatta, Rasulullah SAW setibanya di Madinah, tanah yang didiami oleh Baginda dibeli daripada pemiliknya. Baginda SAW tidak pernah menggunakan jenama ‘Utusan Allah’ sebagai tiket untuk mengaut keuntungan peribadi. Waima, unta yang Rasulullah SAW gunakan semasa hijrah, yang asalnya disediakan oleh Saidina Abu Bakar, dibayar oleh Rasulullah SAW kepada sahabat karibnya itu.

Slogan ukhuwwah fillah tidak hanya sekadar slogan semata-mata buat para Sahabat. Lihat sahaja keteguhan kecintaan Zaid ibn Dathinah kepada Rasulullah SAW, tatkala diseksa oleh Abu Sufyan, sanggup menggadaikan nyawa daripada melihat Rasul yang dicintai diseksa dan dibunuh oleh kaum Musyrikin Makkah. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa an-Nihayah)

Kerana itu, di dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda:

Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapat kemanisan iman: hendaklah dijadikan Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya mengatasi selainnya; hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dicintainya melainkan kerana Allah; hendaklah dia benci untuk kembali kufur sebagaimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam Neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Demikian juga, Rasulullah SAW memuji golongan yang saling berkasih sayang kerana Allah SWT di dalam sebuah hadis:

Sesungguhnya dalam kalangan hamba Allah, terdapat golongan yang bukan para Nabi atau para syahid. Namun, para Nabi dan para Syahid cemburu terhadap mereka pada Hari Kiamat kerana kedudukan mereka di sisi Allah SWT.”

Para Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, beritahulah kami siapakah mereka?” Rasulullah SAW menjawab: “Mereka ialah golongan yang saling mencintai dengan roh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka adalah cahaya, mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita.”

Lalu Baginda membaca ayat al-Quran: “Ketahuilah sesungguhnya pada wali-wali Allah tiada ketakutan dan mereka pula tidak berdukacita.” (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh Al-Albani)

Inilah prinsip-prinsip yang sentiasa diamalkan oleh generasi salafussoleh. Mereka menyedari dan memahami, ikatan yang dibina atas kepentingan tertentu tidak akan pernah berkekalan. Akan datang suatu saat, ikatan tersebut terlerai apabila kepentingan tersebut tidak lagi dipenuhi.

Namun, sekiranya ikatan itu dibina atas dasar keimanan dan ketakwaan, Allah SWT mencukupkan bagi mereka segala-galanya. Sehingga sampai ke suatu tahap, mereka tidak gentar kepada ujian yang ditimpakan ke atas mereka. Hebatnya orang mukmin yang saling berkasih sayang kerana Allah, tiada sesuatu pun yang boleh menggentarkan mereka selain daripada Allah.

Para Sahabat terbina atas ikatan keimanan dan ketakwaan. Ketika menerima tekanan daripada musuh Islam, kesusahan dan penderitaan ditanggung bersama, sehingga mereka seolah-olah berasa apa yang mereka alami hanyalah ringan, walaupun pada hakikatnya berat untuk dipikul. Ketika senang, mereka tidak bakhil untuk saling berkongsi antara satu sama lain, sehingga kuantiti yang sedikit dilihat sebagai banyak.

Namun, para musuh yang bergabung atas kepentingan tertentu, pada akhirnya saling berbalah setelah kepentingan itu dipenuhi, demi memenuhi kepentingan peribadi. Apabila susah, masing-masing mengelak untuk berkongsi penderitaan. Apabila senang, masing-masing begitu berkira untuk mengagihkan kesenangan.

Manusia tidak akan pernah bersatu walau sebanyak mana harta dicurahkan. Hanya kekuatan iman dan takwa sahaja yang mampu menyatukan manusia yang saling berbeza antara satu sama lain. Seandainya ikatan ukhuwwah fillah yang dibina mulai retak sedikit demi sedikit, maka berhati-hatilah. Mungkin sahaja iman dan takwa kita belum cukup kuat untuk menguatkan ikatan ukhuwwah tersebut.

Firman Allah SWT:

Kalaulah engkau belanjakan segala yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatukan jantung hati mereka. Akan tetapi, Allah telah menyatupadukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal, ayat 63)

Sumber: Da’ie Siber

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: