Hakikat Insan dan Pujian…

Artikel ini ditulis dan dikongsikan hasil daripada apa yang berlaku sejak sekian lama ‘terpendam’ lama untuk ku coretkan. Pujian: satu topik yang dikira sangat menarik untuk dibahaskan, kan?

Secara peribadi, aku tidak pernah rasa nak marah orang yang ‘ikhlas’ memujiku. Namun, jikalau ‘ikhlas’ sekalipun, pujian itu hendaklah bersikap sederhana, jika tidak memuji pun tidak mengapa, cukup dengan ucapan terima kasih dan apa-apa yang sesuai untuk diungkapkan.

Pujian yang berlebihan itu bisa merosakkan jiwa. Secara jujurnya, ‘gerombolan’ pujian-pujian yang kadang-kadang ‘menghantui’ diriku dan buatkan aku terkadang terasa dilema itu benar-benar mengganggu ketenangan jiwaku.

Aku kenal siapa diriku, aku tahu bagaimana naik turunnya imanku, sama seperti orang lain. Namun, aku agak ‘kesal’ dengan sesetengah orang yang terlalu ‘memandang tinggi’ kepadaku. Mungkin ada kalanya aku ‘syok sendiri’, tapi kadang-kadang ia jelas daripada perkataan yang disebut.

“Bergurau” dan “serius” juga terlalu subjektif untuk diperkatakan. Ya, mungkin boleh disimpulkan bahawa ramai yang suka memuji dengan nada ‘bergurau’, namun, niat yang baik tidak ‘menghalalkan’ cara yang haram. Aku tidak katakan memuji itu haram, tetapi sikap berlebihan dalam apa jua keadaan termasuk bergurau senda sangatlah ditegah.

Sebagai contoh, kita ingin gembirakan sahabat kita, tetapi kita ‘tersilap’ memilih jenis gurauan yang tak sesuai, menyebabkan sahabat kita bukan sahaja tidak gembira malah marah kepada kita.

Dalam satu hadis yang diriwatkan oleh Abu Bakrah radiallahu ‘anhu, dia menceritakan:

أَنَّ رَجُلًا ذُكِرَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَأَثْنَى عَلَيْهِ رَجُلٌ خَيْرًا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ " يَقُولُهُ مِرَارًا " إِنْ كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا لَا مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ : أَحْسِبُ كَذَا وَكَذَا ، إِنْ كَانَ يُرَى أَنَّهُ كَذَلِكَ وَحَسِيبُهُ اللَّهُ وَلَا يُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا "

Maksudnya: Perihal seorang lelaki telah disebutkan dan ketika itu Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam turut berada disitu. Lalu seorang sahabat pun memuji lelaki tersebut.

Nabi sollallahu ‘alaihi wasallamlalu bersabda:
“Celaka engkau! Engkau telah memenggal tengkuk sahabatmu (Nabi sollallahu ‘alaihi wasallam menyebut perkataan tersebut berulang kali). Seandainya seseorang perlu untuk memuji seseorang yang lain, maka sebutlah: Saya berpendapat si fulan ini begini dan begitu, seandainya dia memang melihat keadaan saudaranya begitu. Allah jualah yang lebih tahu keadaannya. Jadi janganlah menyucikan seorang pun di hadapan Allah.
  — Hadis Riwayat Imam Bukhari, Kitab Adab, Bab perkara yang dibenci ketika memuji: no 5630 —

Dalam hadis yang lain, riwayat Abi Ma’mar, katanya:

  قَامَ رَجُلٌ يُثْنِي عَلَى أَمِيرٍ مِنَ الْأُمَرَاءِ ، فَجَعَلَ الْمِقْدَادُ يَحْثِي عَلَيْهِ التُّرَابَ ، وَقَالَ : " أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَحْثِيَ فِي وُجُوهِ الْمَدَّاحِينَ التُّرَابَ "

Maksudnya: “Seorang lelaki memuji-muji salah seorang pemimpin. Al-Miqdad terus menabur pasir kepada lelaki tersebut sambil berkata: Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam mengarahkan kami untuk menabur pasir ke wajah mereka yang melampau-lampau dalam memuji — Hadis Riwayat Imam Muslim, Kitab Zuhud Dan Ar-Raqaiq, Bab larangan melampau-lampau dalam memuji, hadis no: 5327 —

Adakah kita dapat membuatk kesimpulan daripada kedua-dua hadis ini bahawa kita haram memuji orang lain? Hal ini termasuk dalam soal muamalah dan akhlak, maka kita hendaklah berhati-hati dalam memahami hadis.

Aku mahu memetik apa yang disebutkan al-Imam Ibn Batthal rahimahullah ta’ala(wafat 449H):

حاصل النهي أن من أفرط في مدح آخر بما ليس فيه لم يأمن على الممدوح العجب لظنه أنه بتلك المنزلة ، فربما ضيع العمل والازدياد من الخير اتكالا على ما وصف به ، ولذلك تأول العلماء في الحديث الآخر احثوا في وجوه المداحين التراب أن المراد من يمدح الناس في وجوههم بالباطل ،

وقال عمر : المدح هو الذبح . قال : وأما من مدح بما فيه فلا يدخل في النهي ، فقد مدح – صلى الله عليه وسلم – في الشعر والخطب والمخاطبة ولم يحث في وجه مادحه ترابا

Maksudnya: "Larangan ini(dalam memuji orang lain) terjadi kepada sesiapa yang melampau memuji orang lain, sedangkan apa yang dipuji itu tidak wujud pada orang yang dipuji, begitu juga apabila pujian itu menyebabkan orang yang dipuji tidak selamat daripada perasaan ‘ujub walaupun boleh jadi keadaan orang itu memang seperti apa yang dipuji. Boleh jadi pujian ini hanya akan mensia-siakan amalan yang telah dilakukan dan ia akan membebani orang yang dipuji dengan apa yang dipuji kepadanya.

Oleh sebab itu, ‘ulama hadis mentakwilkan hadis lain yang menyuruh menabur pasir ke wajah orang yang memuji dengan menyatakan maksud hadis tersebut adalah untuk orang-orang yang memuji dengan kebatilan (memuji untuk sesuatu yang tidak layak).

‘Umar radiallahu ‘anhu berkata, "Pujian adalah sembelihan". Adapun jika memuji orang yang benar-benar layak, maka pujian seperti itu tidak dilarang. Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah dipuji dalam sya’ir, khutbah, mahupun perbualan. Namun baginda tidak menyiram pasir kepada orang yang memujinya."  — Syarah Sahih Bukhari-Fathul Bari, Al-Hafiz Ibnu Hajar Al Asqalani, 17/225 —

Aku fikir penjelasan yang diberikan oleh al-Imam Ibn Batthal di atas sudah cukup jelas untuk kita fahami dan amalkan, tidak perlu untuk aku huraikan dengan lebih panjang.

Sebagai konklusi, pujian itu adakalanya memang perlu untuk memberi dorongan dan motivasi kepada orang lain untuk menjadi lebih positif dan bersemangat dalam melakukan ‘amal soleh, namun hendaklah berpada-pada. Jikalau hendak bergurau senda bagi “mengeratkan ukhuwwah”, mungkin lebih molek untuk dikurangkan, masih banyak kaedah lain untuk mencapai objektif itu.

Akhir kalam, semoga kita sama-sama dapat hafaz dan amalkan doa ini seperti mana yang dibaca oleh sahabat nabi ketika dipuji:

عَنْ عَدِيِّ بْنِ أَرْطَأَةَ ، قَالَ : " كَانَ الرَّجُلُ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا  زُكِّيَ ، قَالَ : اللَّهُمَّ لا تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ ، وَاغْفِرْ لِي مَا لا يَعْلَمُونَ [وَ اجْعَلْنِي خَيْرًا مِمَّا يَضُنُّون

Maksudnya: Daripada ‘Adi bin Arthah, dia berkata: Seorang daripada sahabat nabi sollallallahu ‘alaihi wasallam apabila dipuji, dia akan membaca: “Ya Allah, janganlah engkau menghukum aku untuk apa yang mereka perkatakan. Ampunilah aku untuk apa yang mereka tidak ketahui. Jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan”

— Hadis Riwayat Imam al-Bukhari  dalam al-Adab al-Mufrad : 759. Dinilai sahih oleh al-Albani. Bacaan dalam kurungan adalah tambahan daripada riwayat Al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman 4/228 daripada perawi lain —

2 Responses to “Hakikat Insan dan Pujian…”

  1. terima kasih ats peringatan🙂

  2. Ummu haajar Says:

    MasyaAllah, jazakallahu khairan atas perkongsian.

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: