Ulasan PRU13: Kemenangan Dalam Kekalahan!

Keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Malaysia ke-13 telah pun diketahui awal pagi tadi, sekitar jam 4 pagi. Barisan Nasional mendapat mandat untuk membentuk kerajaan pusat setelah berjaya memenangi 112 kerusi parlimen pada jam 12.50 tengah malam dan keputusan akhir dengan 133 kerusi berbanding Pakatan Rakyat 89.

Menurut SPR, seramai 11,257,147 daripada 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi iaitu 84.84%, rekod tertinggi dalam sejarah.

Dalam PRU12 pada 2008, BN berjaya memenangi 140 kerusi parlimen manakala PR 82. Ini bermakna, BN kehilangan 7 kerusi dalam PRU kali ini. Bagi kerusi dewan undangan negeri pula, BN berjaya memenangi 275 kerusi daripada 505 kerusi pada PRU kali ini berbanding 344 pada PRU12. Mereka kehilangan 69 kerusi. PR pula raih 230 berbanding 161 pada PRU12.

Manakala dari segi undi popular pula, BN peroleh 5,302,039 undi manakala PR 5,591,588 undi. Ini menunjukkan PR peroleh undi majoriti Rakyat Malaysia walaupun mereka kalah dari sudut bilangan kerusi parlimen. Secara tidak langsung, kita boleh mengatakan PR kalah dengan bermaruah.

Sistem PRU

Melihat situasi ini, pada pendapat peribadi, “representative system” mungkin lebih ‘adil jikalau menggunakan undi popular rakyat.

Disebabkan kaedah PRU kita adalah kaedah yang paling lama FPTP (First Past the Post) dan disebabkan oleh gerrymandering – persempadanan semula (yang dilakukan oleh BN apabila mereka menang 2/3 majoriti kerusi parlimen sebelum 2008) maka jumlah pemilih di kawasan-kawasan parlimen dan DUN sangat tidak seimbang.

Oleh sebab BN gagal menguasai 2/3 majoriti kerusi parlimen pada PRU12, ia menyaksikan tiada persempadanan semula dan pertambahan kerusi parlimen pada PRU13 yang tidak menguntungkan mereka.

Kalau dirujuk sistem PR legislatif Palestin pada tahun 2006, mereka menggunakan sistem ‘Proportional representation’ iaitu secara mudahnya bilangan perwakilan adalah berdasarkan nisbah undi yang diterima. Untuk bacaan lebih lanjut sila rujuk Wiikipedia: Palestinian Legislative Council

Persoalan mungkin timbul: Relevankah “representative system” ini? Dek diriku yang masih kurang ilmu dalam bidang sains politik ini, aku memilih untuk tidak membahaskan panjang perkara ini. Sama-sama kita tambahkan ilmu dan buat kajian terutama bagi negara yang amalkannya seperti UK.

Isu-isu berbangkit

Terdapat beberapa isu berbangkit sepanjang kempen PRU13 termasuk pada hari pengundian semalam.

Pertama, dakwat kekal yang tidak kekal. Tidak dinafikan terdapat beberapa orang yang dakwat di jarinya tidak hilang walau setelah dibasuh. Namun, boleh dikatakan lebih ramai yang mengadu dakwat hilang. Malah, lebih 1000 laporan dibuat atas isu ini.

SPR telah memberikan jawapan yang tidak memuaskan dalam hal ini. Apapun, siasatan menyeluruh mesti dilakukan dan penyelewengan yang berlaku mesti didakwa dan dibicarakan di mahkamah sekiranya SPR dan badan kehakiman benar-benar telus.

Kedua, pengundi hantu yang tidak diundang. Banyak kes yang timbul semalam di mana para aktivitis politik terutama daripada Pakatan Rakyat yang mendapati dan menahan orang-orang yang mencurigakan di kawasan pengundian terutama yang kelihatan seperti warga asing.

Hal ini pun sama. Siasatan lengkap mesti dilakukan dengan penuh ketelusan. Sekadar penafian adalah tak cukup. Pada pendapat peribadi, saf kepimpinan SPR mesti dirombak dan reformasi dalam pentadbiran & pengurusan SPR mesti dibuat bagi mengembalikan integriti dan ketelusan yang diragui sebahagian rakyat.

Jika perlu, kedua-dua pihak dari pihak kerajaan dan pembangkang menganggotai SPR.

Ketiga, isu pengundi Cina yang mendominasi dalam ‘tsunami politik’ negara. Pada pandangan peribadi, ia bukanlah ‘Chinese tsunami’ tetapi ‘urban tsunami’ atau lebih tepat ‘Malaysians tsunami’ kerana meliputi rakyat Malaysia di kawasan semi bandar, golongan muda, dan pastinya kawasan bandar.

Pakatan Rakyat berjaya memenangi kerusi Parlimen di semua ibu negeri kecuali Kangar(Perlis) dan Johor Bahru(Johor), selain memenangi 9 daripada 11 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Populasi kaum Cina di negara kita adalah sekitar 24%, padahal Pakatan Rakyat peroleh lebih kurang 51% undi. Adalah kurang berasas untuk menimbulkan isu ini.

Dalam proses perubahan ke arah politik baru yang lebih sihat dan matang, isu-isu perkauman sangat tidak wajar untuk dimainkan. Kenyataan beberapa orang pemimpin politik terutama yang kalah menyalahkan kaum Cina sebagai tidak bersyukur dan menghargai jasa BN sangat dikesali.

Kita mesti menghapuskan pemimpin-pemimpin yang masih berminat memainkan sentimen-sentimen perkauman yang membantutkan usaha perubahan. Bukan sahaja isu DAP perkudakan PAS atau UMNO perkudakan MCA dan sebagainya, ia termasuklah isu perpaduan UMNO dan PAS sebagai perpaduan orang Melayu Islam. Begitu juga akhbar-akhbar yang suka mengapikan isu ini mesti dihapuskan, tidak kiralah akhbar berbahasa melayu, inggeris, cina, tamil, arab dan sebagainya.

Berbeza parti politik, idelogi dan pendirian bukanlah tanda perpecahan, tetapi sikap taksub dan ketidakterbukaan untuk berlapang dada dalam perbezaan yang menyebabkan orang Melayu Islam berpecah. Bukan untuk menyanjung kaum Cina, tetapi mereka menunjukkan contoh yang baik dalam solidariti dan mewujudkan civil society dalam kalangan mereka.

Pendekatan ISMA dalam hal ini tidak wajar dan dikesali. Kita boleh berbeza dalam wadah perjuangan, tetapi untuk membangkitkan isu-isu lapuk dan sentimen yang kurang asas sangatlah tidak perlu. Ia hanya boleh membawa kepada salah faham dan fitnah kepada Islam.

Masa Depan Islam dan Da’wah

Melihat kepada trend dan keputusan PRU13, kita dapati majoriti ahli parlimen adalah orang Melayu Islam. Isu yang dibangkitkan bahawa Islam bakal tergugat adalah langsung tak berasas dan ia hanya andaian kosong.

Apapun, da’wah kepada non-Muslims mestilah dipergiat. Dalam hal inilah umat Islam tanpa mengira bangsa dan ideologi politik mesti bersatu dan berjuang bersama menyampaikan mesej Islam kepada non-Muslims selain memperbetul salah faham yang wujud dalam kalangan non-Muslims terhadap Islam.

Asyik menimbulkan isu dan sentimen yang kurang matang tanpa membuat kerja dari akar umbi, hanyalah membuang masa dan membantutkan proses pencerahan dan perubahan.

Isu sosialis, pluralist, secularist, liberalist , juga negara kristian, agenda yahudi dan sebagainya perlu diberi pencerahan dengan kerangka yang lebih luas, dan bukannya dari sudut pemikiran yang jumud dan sempit. Islam meraikan perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan prinsipnya walaupun ia dipelopori oleh non-Muslims.

Dogma yang ditanam oleh sebahagian golongan Islamist yang tidak terbuka kepada umat Islam perlu dihentikan. Pencerahan itu perlu, tetapi bukan untuk mendiamkan dan menghapuskan ideologi yang pada asasnya ada kebaikan walaupun ada ciri-ciri yang masih boleh dibahaskan dengan lebih matang dan ilmiah.

Muhasabah

Perubahan itu bermula dengan diri kita sendiri. Kita merupakan sebahagian dariapda mata rantai dalam perjuangan yang bermula sejak utusnya rasul sehinggalah ke hari kiamat. Membanyakkan bacaan dan ilmu, mengaplikasikan dalam kehidupan dan manfaatkannya untuk perjuangan.

Penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS berdukacita dengan kekalahan dalam PRU kali ini. Duhai tentera Allah, usah berdukacita dan kecewa terlalu lama. Perjuangan kita masih belum selesai. Perjalanan kita masih panjang. Berjiwa besar dan optimis terhadap masa hadapan sangat penting.

Walaupun mungkin benar berlaku penipuan dan ketidakjujuran dalam perjalanan PRU kali ini, kita berusaha sehabis mungkin tegakkannya di muka keadilan agar rakyat keseluruhannya sedar akan hal ini.

Petisyen pilihan raya boleh dibuat di Mahkamah Pilihan Raya dalam masa 21 hari dari tarikh keputusan digazet. Yakinlah jika PR di pihak yang benar, dalam kegelapan itu tetap ada harapan.

Yang paling penting, kita kecewa dan sedih dengan tindakan manusia, bukan dengan takdir Allah!

Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:

Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas” – Surah Al-Kahf, ayat 28

Lagu tribute untuk para pejuang keadilan merentasi agama dan kaum

Kita harus memuhasabah diri banyak-banyak atas kesilapan dan kealpaan diri yang pasti ada, dosa-dosa atas maksiat yang dilakukan secara sedar atau tak sedar, daripada meletakkan kegagalan dan kekalahan pada Tuhan. Benar Tuhan jua berkuasa atas segalanya, tapi keburukan tidaklah layak disandarkan kepadaNya.

Semoga Allah ‘Azza Wa Jalla sentiasa redhai dan rahmati usaha kita dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, serta pastinya mengampuni keterlanjuran kita dalam urusan hidup di dunia yang sementara ini.

Dalam sebuah hadith daripada Huzaifah Ibn Yaman radiallahu ‘anhu:

Manusia bertanya Rasulullah Sollallahu ‘Alahi Wasallam berkenaan kebaikan, aku pula bertanya baginda tentang kejahatan kerana aku bimbang ia menimpa aku.

Maka aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?” Rasulullah menjawab, “Benar”.

Aku bertanya: “Adakah setelah keburukan ini ada kebaikan?” Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran, kekalutan, atau kekeruhan) padanya.”

Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran, kekalutan, atau kekeruhan) tersebut?”
Baginda bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain daripada petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.”

Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Baginda bersabda, “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut mereka maka mereka akan mencampakkannya ke dalam jahannam (kebinasaan).”

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Baginda menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.”

Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Baginda menyatakan, “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.”

Aku bertanya, “Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemimpin bagi umat Islam?” Baginda menjawab, “Jauhilah kelompok-kelompok itu semuanya walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu”. – Hadis Riwayat Imam Bukhari(3606) dan Imam Muslim(1847)

Penutup

Selepas PRU12, ada suara-suara yang berbunyi meminta Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meletakkan jawatan sebagai PM atas prestasi tak memberansangkan BN. Jika dibandingkan keputusan PRU12 dan PRU13, keputusan kali ini lebih buruk bagi BN. Tiada suara meminta DS Najib untuk meletakkan jawatan?

Apapun, Barisan Nasional yang mendapat mandat untuk memerintah negara ini bagi tempoh 5 tahun yang akan datang mestilah menunaikan amanah dan janji dalam manifesto mereka. Begitu juga Pakatan Rakyat yang memerintah 3 buah negeri iatu Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang.

Sekiranya BN di bawah pimpinan DS Najib benar-benar ingin lakukan transformasi, amatlah diharapkan agar media massa negera ini dibebaskan dalam erti kata lain ‘adil dan telus dalam menyampaikan ilmu dan maklumat kepada rakyat dalam mendidik mereka ke arah yang lebih matang dalam menilai sesuatu isu. Semua pihak wajar diberikan peluang untuk mengutarakan idea dan hujah, selain mempertahankan diri sekiranya dilemparkan tuduhan. Ini salah satu syarat dalam menyuburkan semangat demokrasi yang diamalkan di negara ini, selain prinsip keadilan Islam.

Selain itu, PR mesti diberi kebenaran untuk menjadi pertubuhan berdaftar dan menggunakan satu logo seperti BN oleh RoS bagi membentuk sistem dua parti. Keengganan RoS mengesahkan pendaftaran PR amat mendukacitakan.

Sebagai peringatan kepada semua, dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anh, bahawa Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

Kamu sangat ingin (berusaha) untuk mendapatkan jawatan atau kekuasaan pemerintahan tetapi ingatlah bahawa ianya akan menjadi punca penyesalan di hari kiamat” – Hadis Riwayat Imam Bukhari(7148)

Kita mengharapkan kedua-dua pihak akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, BN menjadi kerajaan yang amanah dan jujur dalam menguruskan harta benda negara dengan ‘adil, manakala PR menjadi pembangkang yang kuat sebagai check & balance.

Kita sebagai rakyat marhaen pula terus menuntu ilmu dan berusaha dalam kerangka perjuangan atas ijtihad politik masing-masing. Semuanya dengan tujuan dan objektif yang sama, iaitu ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur dan sejahtera serta ‘adil, dalam keredhaan Allah ‘Azza Wa Jalla.

3 Responses to “Ulasan PRU13: Kemenangan Dalam Kekalahan!”

  1. Thanks utk komen tuu ira🙂

  2. Assalamualaikum w.b.t
    #Sekadar perkongsian daripada seorang rakyat sarawak .
    Mungkin ramai yang menyalahkan rakyat sarawak sebagai punca kekalahan PR pada PRU 13 kerana sarawak mempunyai jumlah kerusi parlimen yang banyak .

    Secara jujurnya, persaingan di sarawak adalah lebih kepada DAP dan BN, Persoalannya, why not PR letakkan lebih banyak calon daripada PKR di kawasan-kawasan yang tertentu? (mungkin ada yang mengatakan, ‘ala sama ja tu,dua-dua PR’)
    Nope! Bagi kami tak sama sebab DAP itu Cina.

    Anda TIDAK melihat bagaimana diskriminasi kaum berlaku di sini , anda tidak mengalaminya . Even budak sekolah tahu yang mereka didiskriminasikan oleh cikgu2 cina mereka.

    Anda tidak tinggal di sini dan anda tidak merasa bagaimana kehidupan rakyat di sini .
    Kedai makan Melayu bercampur dengan kedai Cina (takkan pernah jumpa kedai melayu yang tak bercampur dengan kedai cina,for sure), kedai kek ada yang campurkan arak, daging khinzir jual merata.
    Memang payah nak cari kedai halal .
    Even dekat mall, nak beli makanan halal pun susah,harapkan ada MB, KFC je
    Food stall tak payah cakap la,semuanya haram.
    Mereka (DAP) tak kisah pun,ye la makanan tu semuanya halal bagi diorang kan.
    Saya sedih . Kesian tengok orang yang cetek agama main terjah je makan benda2 haram ni.

    See?We have no choice anymore, nak tak nak terpaksa pangkah BN walaupun hati meronta . Mungkin ini penjelasan terbaik mengapa rakyat sarawak terpaksa memilih BN .

    Mungkin sekiranya PR letak lebih banyak calon PKR/PAS , in shaa Allah rakyat sarawak akan mengundi mereka .

    Saya percaya anda sebagai seorang Islam pun pasti akan rasa tidak selesa jika hidup dalam environment begitu,kan?
    Jadi tolonglah kami orang Melayu Sarawak perlukan lebih banyak calon daripada PKR/PAS bukan DAP.
    (mintak kat admin macam la admin boleh bagi hehe)

    #maaf kalau terkasar bahasa.no heart hurts,okay?hehe

  3. teruskan berjuang wahai muslimin dan muslimat🙂..”Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)” Al Insyirah ayat 7-8

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: