Saat Kritikal untuk Berfikiran Kritikal

Oleh: Marwan Bukhari bin A. Hamid

Dalam buku Fitnah at-Takfir: Bayn as-Shi’ah wa al-Wahhabiyyah wa as-Shoufiyyah[i] oleh intelektual Muslim terkenal dari Mesir, Dr Muhammad Imarah, beliau terpaksa menulis prakata yang baru untuk cetakan kitabnya yang baru kerana cetakan sebelumnya telah menyebabkan kebisingan yang bukan sahaja menimpa Mesir, malah menjadi riuh hingga ke Kongres Amerika, pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, malah turut membikin keriuhan dalam kalangan pelobi-pelobi Yahudi di Amerika.

Menurut Muhammad Imarah, kebisingan itu berlaku disebabkan tiga kalimah sahaja iaitu, Istibahah Dima’ wa Amwal  (halal darah dan harta benda) para pendusta Rasulullah saw yang telah dipetiknya daripada kitab Faysal at-Tafriqah bayn al-Islam wa al-Zandaqah karangan Imam al-Ghazzali rhm (kitab tersebut dicetak di Mesir pada 1907, petikan kalimah itu pula wujud pada halaman 4 dan 5).

Buku yang mengandungi seruan supaya menghentikan perbuatan takfir antara kaum Muslimin dari pelbagai latar mazhab dan pemikiran itu ternyata telah menjadi bom yang diletus oleh beberapa pihak gereja Kristian di Mesir. Lantas dengan rasa merendah diri dan tegas, Muhammad Imarah menulis penjelasan menerusi prakata baru dalam cetakan yang baru (cetakan 2009). Beliau menyatakan, setelah diselidik terbukti kesilapannya yang tidak berhati-hati memetik beberapa kalimah dalam kitab karangan al-Ghazzali tersebut sedangkan beliau sendiri tidak bermaksud sebegitu kerana istilah “halal darah dan harta benda” terhadap kaum bukan Muslim adalah bertentangan dengan apa yang diajar Islam sendiri yang menjadikan pemeliharaan darah, harta benda, maruah dan akidah sebagai soal teras dalam beragama.

Malah menurutnya, prinsip kewarganegaraan dalam Islam ialahLahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna yang menjamin kesamarataan hak dan tugas antara Muslim dan bukan Muslim. Menurut penjelasannya lagi dalam cetakan terbaru itu, beliau berani membuat kesimpulan bahawa mustahil tokoh sehebat al-Ghazzali mustahil akan memberi pandangan sebegitu kerana tiga kalimah tersebut amat bertentangan dengan prinsip-prinsip teras Islam. Lantas beliau menyatakan, kesilapan pasti berpunca daripada sharikat percetakan yang telah mencetaknya pada 1907 tersebut, justeru beliau berikrar akan membuat kajian terhadap teks iti sekaligus membersihkan kitab al-Ghazzali tersebut daripada kalam yang menggugat keharmonian beragama antara Muslim dan bukan Muslim.

Kritikal yang dimaksudkan

Saya memulakan tulisan pada kali ini dengan kisah di atas kerana ia lantas mengingatkan kita supaya bersikap kritikal  pada saat kritikal zaman ini. Saat kritikal yang saya maksudkan ialah saat genting dan penuh berpotensi untuk menggelincirkan sesiapa yang gagal berinteraksi dengan saat tersebut. Dalam Oxford Dictionary of Current English (edisi ketiga)[ii], salah satu maksud critical ialah, “at a point of danger or crisis”.

Untuk pergi lebih jauh, saya memaksudkan bahawa saat yang kritikal itu turut berkait dengan apa yang disebut oleh nabi saw sebagaisinuun khadda’ah (tahun-tahun yang penuh tipu daya) dalam hadis yang bermaksud:
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).”.[iii]

Sementara perkataan kritikal yang dinisbahkan dengan kata fikir pula saya maksudkan sebagai berfikir dengan rasional, membuat pantulan (refleksi) terhadap sesuatu pandangan, fahaman dan kepercayaan, menimbulkan pertanyaan, mencabar pandangan lazim terhadap sesuatu perkara dan berusaha mendapat kepastian dan keyakinan terhadap sesuatu kepercayaan, isu, berita dan pandangan.

Maksud kata kritikal sedemikian diambil setelah meneliti beberapa takrifan berkenaan critical thinking dalam sebuah tulisan terbitan Cambridge University Press bertajuk Critical Thinking: An Introduction oleh Alec Fisher. Alec Fisher mengemukakan beberapa tafsiran oleh tokoh seperti John Dewey, Edward Glaser dan Robert Ennis (kelihatan takrifan critical thinking oleh ketiga-tiganya mempunyai “semangat” yang hampir sama). Akhirnya untuk meringkaskan maksud critical dalam tulisan ini, saya cenderung mengambil takrifan ringkas dan padat oleh Robert Ennis (Alec Fisher turut menyatakan bahawa takrif itu antara yang digunakan secara meluas) yang menyatakan:

Critical thinking is reasonable, reflective thinking that is focused on deciding what to believe or do.[iv]

Kritikal, tabayyun dan tathabbut

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."[v]

Menurut Imam Muhammad at-Taher Ibn ‘Ashoor dalam kitab tafsir agungnya, at-Tahrir wa at-Tanwir[vi], ayat tersebut sekurang-kurangnya mengeluarkan empat persoalan berhubung al-Fiqh dan Usul al-Fiqh iaitu:
1)   Kewajipan menyelidik keadilan sesiapa yang tidak diketahui keadaannya (majhul al-hal) dalam menerima penyaksian atau riwayat, di sisi hakim dan di sisi perawi.
2)   Petunjuk tentang penerimaan seseorang yang telah hilang tohmahan dusta dalam penyaksian dan periwayatannya dan ia ditanda sebagai adil. Hal ini juga menjadi hujah dalam pengamalan khabar ahad.
3)   Menunjukkan bahawa asal sesuatu perkara yang tidak diketahui itu tidak adil, justeru wajib disingkapi ketidak tahuan tersebut dan tidak akan dipraktikkan atau diiyakan perkara tersebut hinggalah dikaji tentangnya dan setelah tetap keadilannya.
4)   Firman-Nya "… sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." merupakan ancaman supaya menjauhi daripada segala perbuatan yang menyebabkan penyesalan, yakni segala dosa yang dikehendaki taubat setelah terjerumus ke dalamnya.

Penekanan soal tabayyun dan bersikap kritikal dalam mencabar kesahihan sesuatu berita, maklumat, tuduhan, kepercayaan dan fahaman memang menjadi antara disiplin yang diajar oleh al-Quran dan hadis nabi saw. Bahkan tradisi ini sangat kuat dalam tradisi Islam, contohnya dalam pengajian ‘Ulum al-Hadith, persoalan tathabbut akan dibincangkan terutama apabila sesuatu matan hadis itu dilihat kemungkinan berlakunya kesilapan. Demikian juga disiplin al-Jarh wa at-Ta’dil dalam menentukan keperibadian seseorang perawi sebelum diambil riwayat hadis daripadanya turut menjadi sebuah disiplin dan praktikal penting dalam ilmu hadis.

Berhubung pertuduhan terhadap sesuatu jenayah atau kesalahan, pihak yang dituduh adalah bebas sementara pihak yang menuduh dikehendaki mendatangkan bukti. Contohnya kaedah fiqh yang menyatakan,al-Ashlu bara-ah al-muttaham min irtikab al-jarimah[vii] (asal seseorang itu ialah bebas daripada tuduhan melakukan jenayah) merupakan salah satu daripada banyak contoh kaedah fiqh yang meletakkan syarat ketat sebelum sesuatu tuduhan dilakukan. Sekadar menyebut beberapa contoh, saya tiada hasrat untuk mengulas panjang soal tersebut dalam artikel ini kerana ada beberapa hal lain yang menjadi tumpuan saya untuk dibincangkan.

Kritikal terhadap media

Failasuf merangkap intelektual terkenal, Noam Chomsky dalam sebuah tulisan bertajuk 10 Strategies of Manipulation by The Media[viii] telah meringkaskan sekurang-kurangnya sepuluh strategi yang lazim digunakan oleh sesebuah media untuk memanipulasi dan mempengaruhi masharakat. Antara strategi tersebut ialah The strategy of distraction, create problems then offer solutions dan Keep the public ignorance and mediocrity(sekadar memetik tiga strategi, selebihnya boleh ikuti di artikel tersebut).

Barangkali bencana yang menimpa sesebuah masharakat bertitik tolak daripada tiga entiti iaitu pemberi khabar, pendengar khabar dan penyebar khabar. Dalam kes sesebuah media, bencana akan menimpa sekiranya sesebuah masharakat langsung tidak bersikap kritikal terhadap sebarang perkhabaran dan sebaran maklumat daripada media. Berhubung the strategy of distraction contohnya , sesebuah media sering menggunakan kemahiran mereka dalam mengalihkan tumpuan daripada sesuatu isu penting kepada sesuatu isu picisan. Sebagai contoh, isu-isu rasuah, kezaliman, pencemaran alam, belanjawan dan sebagainya telah disembunyikan, sementara media cetak dan media elektronik akan hanya dibanjiri dengan isu-isu perkauman, sentimen agama dan pelbagai fitnah dan tuduhan.

Kalaupun media menyentuh isu-isu seperti kezaliman dan rasuah, ia hanya digembar-gemburkan pada waktu-waktu tertentu dan terhadap individu-individu tertentu, demi menunjukkan komitmen kerajaan yang menunggangi mereka yang kononnya turut mengambil berat isu rasuah. Selain itu ia berlaku secara emosional dan bukannya rasional, justeru indeks berhubung kajian rasuah antara negara contohnya tidak disebar kepada masharakat dan rakyat, terutama jika kerajaan yang menunggangi media tersebut jatuh merudum dalam indeks rasuah. Demikian juga laporan audit tidak akan dibincang dan dibentangkan dengan meluas melainkan hanya sisi-sisi yang terpilih semata-mata, demi mengekalkan kejahilan rakyat terutama yang tinggal di kawasan-kawasan pedalaman. Media jugalah yang berperanan memutar belit laporan sesuatu maklumat, bahkan ada media yang melakukan penyelewengan terjemahan ucapan tokoh-tokoh tertentu, sebagaimana pernah kecoh baru-baru ini berhubung stesen televisyen Iran yang memutar belit ucapan Presiden Mesir, Mohammed Morsi dalam sebuah persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).[ix]

Media-media juga bijak mencipta masalah dan seterusnya mencadangkan solusi tertentu, sama ada solusi itu dilaungkan oleh mana-mana ahli politik pihak pemerintah, atau menerusi tulisan ilmuan upahan, atau juga menerusi watak-watak tertentu yang diperguna tanpa sedar. Contohnya dalam konteks negara kita, isu-isu perkauman dan sentimen agama akan menjadi hidangan siang dan malam, seterusnya solusinya ialah penggabungan antara dua parti besar kaum Melayu Islam kononnya demi kemaslahatan bersama. Media-media yang asalnya memusuhi kaum ilmuan dan ahli agama, mereka akan memaparkan pandangan-pandangan terpilih ilmuan dan ahli agama tertentu, sebagaimana halnya seorang “Tuan Guru” dari sebuah pondok yang tidak pernah meluas kemunculannya dalam media, tapi diberi perhatian di muka depan setelah mengeluarkan “fatwa” sebuah parti sebagai “Kafir Harbi”!

Di samping itu, pihak media juga yang berperanan mengekalkan kejahilan sesebuah masharakat, selain mempopularkan insan dan pertubuhan tertentu selain menggelamkan tokoh dan pertubuhan intelektual yang gigih mencerahkan masharakat dan golongan yang tegas membela kaum yang tertindas. Media-media lebih gemar memperbanyak slot dengan “ustaz-ustaz popular” menerusi tajuk-tajuk kehidupan seharian semata-mata, sambil perbincangan hal-hal yang lebih ilmiah ditenggelamkan dan tidak mendapat tempat. Tanpa menafikan manfaat menerusi perbincangan hal ehwal kehidupan seharian, wacana-wacana ilmiah yang terabai dan kaum intelektual yang terpinggir setelah berdekad-dekad wujudnya pelbagai media di negara kita adalah suatu yang sungguh mendukacitakan. Al-Marhum Dr Syed Hussein al-Attas menulis:

“Orang pandir menghalang berkembangnya tuntutan umum terhadap kerja intelektual. Kaum intelektual tidak mempunyai cara untuk melaksanakan tuntutan awam terhadap hasil kerja mereka. Apabila sebuah makalah intelektual dihantar ke surat khabar, editor mengatakan tulisan itu terlalu berat. Radio dan televisyen menyajikan acara yang bukan intelektual. Pembicara yang diundang dalam forum jarang sekali terdiri daripada orang intelektual. Penerbit menerbitkan buku pelajaran untuk sekolah dan novel, tetapi jarang sekali karya kreatif kaum intelektual diterbitkan. Dalam pentadbiran tidak ada penghargaan untuk menjadi orang intelektual. Oleh hal yang demikian masyarakat umum tidak diperkenalkan dengan hasil kerja intelektual.”[x]

Kritikal terhadap pemimpin dan media baru

Pada saat yang mana sekalian ahli politik dan pemimpin gemar bertopeng malaikat dan menyembunyikan kesyaitanan dan sifat sebenar mereka, sungguh wajar untuk rakyat turut bersikap kritikal terhadap segala tindak tanduk orang atasan mereka. Bersikap kritikal tidak menghalang untuk turut bekerjasama dan beraspirasi membangunkan negara dan masharakat, namun keberanian mempersoalkan beberapa tindakan mereka merupakan sesuatu keperluan, khasnya dalam konteks sesebuah negara dan organisasi yang besar. Rakyat mesti mempersoalkan wang masuk dan wang keluar sesebuah parti dan negara, bahkan menuntut hujah yang relevansi dan rasional terhadap penggunaan wang tersebut.

Membuat pantulan dan muhasabah (penilaian) terhadap belanjawan dan program yang dibentangkan oleh pihak kerajaan mestilah menjadi amalan sesebuah masharakat, seperti menerusi wahana sesebuah badan bukan kerajaan atau persatuan sivil. Masharakat perlu peka bahawa “keikhlasan” bukanlah tawaran yang kita mahu dengar daripada mana-mana politikus, sebaliknya kecerdasan, amanah dan pemerintahan yang baik yang kita mahu lihat.

Sementara itu, dengan kemunculan pelbagai media baru pada zaman ini telah mengakibatkan kemunculan satu tabiat baru yang sangat tertonjol, iaitu tabiat share dan berkongsi sekalian pautan yang wujud di laman sosial. Blog, facebook, twitter dan pelbagai laman sosial yang turut berperanan sebagai media baru sangat kurang mengamalkan budaya tathabbut dantabayyun, sebaliknya terus dikongsi dan diulas tanpa mencabar kebenarannya. Contohnya di facebook, penghuninya saling berkongsi apa-apa pautan, petikan kata-kata atau apa-apa gambar tanpa mempersoalkan sumbernya.

Demikian tenatnya masharakat kita dengan ketidak mampuan mempersoal keabsahan sesuatu berita dan sumber, bahkan segelintir penghuni laman sosial terlibat berkongsi khabar angin yang dusta. Seringkali pergaduhan politik kepartian antara rakyat kebanyak yang terjerumus dalam ketenatan tersebut. Masing-masing bersaing untuk berkongsi gambar-gambar yang memaparkan agenda masing-masing, selain galak menyiarkan keburukan malahan fitnah lawan mereka. Sekali lagi malang apabila segelintir masharakat menggemari teknik tersebut, asalkan menyebelahi parti politik yang ditaksubi mereka! Akibatnya, tiada amalan perbandingan antara maklumat kedua-dua parti yang bersaing, politik emosional bermaharajalela menggantikan politik rasional dan tanpa sedar rakyat seolah-olah hanya berperanan di peti-peti undi, kerana tugas mereka hanyalah mengiyakan parti yang ditaksubi.

Pantulan dan kesimpulan

Meneruskan perenggan, saya merenung kembali kisah Dr Muhammad Imarah dalam prakata baru beliau dalam cetakan terbaru salah sebuah karyanya sebagaimana tercatat di atas. Bahawasanya hanya dengan tiga perkataan boleh menimbulkan keriuhan dan kebisingan antara agama, apatah lagi jika ada pihak yang mengambil keuntungan politik dan menjadi batu api terhadap menyebarkan kesilapan maklumat tersebut.

Saya berpandangan, inilah saat yang kritikal untuk kita semua bersikap kritikal terhadap sekalian isu dan perkara yang berlaku di sekeliling kita. Dalam berguru dan membaca, tiada patut kita menerima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh guru dan tertulis dalam buku. Kalau hanya menerima bulat-bulat, maka lebih baik tinggalkan sahaja guru dan buku.  Berfikir dengan kritikal dengan bersikap rasional, berdebat, mengkritik, sentiasa melazimi pertanyaan “kenapa?” dan sebagainya mesti menjadi asas sebelum sesuatu diterima dan dipercayai. Setelah meragui sesuatu sumber, kita juga hendaklah berusaha keras mendapatkan pengetahuan dan ilmu sesuatu perkara hingga kita menerima dengan yakin dan tenang.

Demikian antara kandungan praktikal bersikap kritikal yang saya maksudkan. Bukannya kritikal yang hanya tahu mengkritik tapi tak bersedia dikritik, atau sekadar mencipta keraguan tapi tidak berusaha mendapatkan keyakinan, atau bukan juga kritikal hingga mencabar keilmuan seseorang tanpa adab, berbekalkan dua tiga buah buku yang baru dibaca. Kita bukan kaum yang belajar pada hari Sabtu, mengajar pada hari Ahad, mengenali guru pada hari Isnin, seterusnya pada hari Selasa melaungkan Hum rijal, nahnu rijal! (mereka manusia, kita juga manusia!) atau mahu mendabik dada bersaing dengan ilmuan dan kaum intelektual, atas nama kritikal. Tidak, bukan itu yang dimaksudkan. Sebaliknya kita mendidik diri supaya mempersoal kebenaran sesuatu maklumat, sumber sesuatu pengetahuan, membandingkan tawaran parti-parti politik, tidak menjadikan media sebagai sembahan dan mendahului rasional mengatasi emosional.

Ahli mana-mana organisasi, pertubuhan dan gerakan juga hendaklah bersikap kritikal dalam berinteraksi dengan pemimpin, guru dan dasar kumpulan mereka. Tanpa melanggar disiplin dan kepentingan bersama mereka, mereka tidak wajar menjadi robot yang menerima segala maklumat tanpa soal. Bersikap kritikal bukanlah bermaksud menggadaikan adab atau memperlekeh sesiapa, sebaliknya ia bermaksud mendisiplinkan diri dengan sesuatu yang meyakinkan dan menenangkan jiwa sebelum melakukan sesuatu perkara.

Saya menyimpulkan, bersikap kritikal yang kita cita-citakan pada zaman yang genting ini terdapat dalam satu firman Allah swt yang bermaksud: 
“Orang-orang yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.”[xi]

Al-Quran mendidik kita memilih yang terbaik (al-Ahsan) bukannya baik (al-Hasan) semata-mata. Justeru proses memilih al-Ahsan memerlukan penelitian dan proses yang mendalam, bukannya mudah berpuas hati dan enak berpada-pada. Inilah saat yang kritikal untuk bersikap kritikal, juga merupakan tahun-tahun penuh tipu daya yang memerlukan keunggulan upaya. Bersediakah kita semua?


[i] Muhammad Imarah, Fitna at-Takfir: Bayn As-Shi’ah wa al-Wahhabiyyah wa as-Shoufiyyah, cetakan Dar as-Salam, penjelasan kesilapan pencetakan itu diulas oleh beliau di halaman 5-20.

[ii] Oxford Dictionary of Current English (Third Edition),Oxford University Press, hal. 208.

[iii] Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Hakim dll. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi

[iv] Alec Fisher, Critical Thinking: A Introduction, terbitan Cambridge University Press, hal. 4.

[v] Al-Hujurat : 6

[vi] Ibn ‘Ashoor, at-Tahrir wa at-Tanwir. Cetakan Dar Suhnun, jilid ke-10. Ulasan beliau tentang empat persoalan tersebut diulas di halaman 233-234.

[vii] Dr Abdul Karim Zaydan, al-Wajiz fi Sharh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, terbitan Muassasah ar-Risalah Nashirun, hal. 44.

[viii] http://www.laitman.com/2011/10/noam-chomsky-10-strategies-of-manipulation-by-the-media/

[ix] http://dailynewsegypt.com/2012/09/01/morsys-words-changed-in-farsi-translation/

[x] Syed Hussein al-Attas, Intelektual Masyarakat Membangun, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hal. 69. Buku ini merupakan terjemahan daripada buku bahasa Inggeris beliau yang bertajuk Intellectuals in Developing Societies.

[xi] Az-Zumar: 18

*Sumber: http://www.marwanbukhari.com/2012/10/saat-kritikal-untuk-berfikiran-kritikal.html

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: