Isu Cadbury: Apabila Lebih Lajak Daripada Laju

Bismillah. Beberapa hari ni tetiba negara kita kecoh dengan isu berkenaan dakwaan terdapat DNA babi dalam dua produk keluaran Cadbury. Pelbagai jenis respon dan komen dikeluarkan oleh pelbagai pihak berhubung perkara ini.

Ulasan ringkas saya ini adalah berdasarkan ilmu dan maklumat yang terhad saya ada, yang terbuka kepada kesilapan. Maka, saya terbuka kepada teguran sekiranya ada kesilapan. Baiklah. Ada beberapa perkara yang ingin saya sentuh tentang isu ini.

Pertama, saya melihat trend sebahagian umat Islam di Malaysia yang kelihatan sangat ‘alergik’ dengan dua haiwan iaitu anjing dan babi. Kalau kita masih ingat, terdapat beberapa isu berkaitan kedua-dua haiwan ini yang pernah menjadi ‘isu besar’ dan mendapat tempat di negara kita sebelum ini.

Kita mengakui akan keharaman untuk memakan kedua-duanya melainkan dalam keadaan darurat sahaja. Namun mempunyai sentimen negatif yang berlebihan terhadap haiwan-haiwan ini adalah tidak wajar dan rasional. Haiwan-haiwan ini tidaklah hina dan jijik, bahkan Allah memuliakan anjing dalam kisah Ashabul Kahf dalam Surah al-Kahfi.

Sebab saya menyebut hal ini adalah kerana sikap ‘double standard’ yang sebahagian kita amalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Banyak perkara lain yang jelas akan keharamannya seperti riba, rasuah, rokok dan judi, tetapi sebahagian kita memandang remeh terhadapnya. Bahkan dosa seperti rasuah, judi dan riba memberi kesan yang negatif kepada masyarakat dan negara, bukan sahaja individu yang terbabit.

Maka terdapat beberapa komen atau respon yang boleh dianggap agak keterlaluan dalam meluahkan perasaan terhadap isu ini seperti yang mafhumnya, “Oh.. habislah aku makan benda haram. Tak diterima amalan aku agaknya. Terhijab daripada rahmat Tuhan”.

Saya sebutkan hal ini untuk sama-sama kita berfikir sejenak dan memuhasabah diri, dan bukannya untuk menyerang atau memburukkan sesiapa.

Kedua, memang lumrah makhluk yang bernama insan itu isti’jaal (kalut dan kelam kabut). Dalam isu ini, sebelum pengesahan dibuat, pelbagai versi cerita kedengaran berkenaan isu ini. Tidak kurang juga sikap menuding untuk melepaskan perasaan agar ada yang boleh dipersalahkan tanpa mengkaji terlebih dahulu.

Memang, jika disahkan secara tepat coklat tersebut mempunyai kandungan berkenaan dan ia merupakan perbuatan yang disengajakan, selayaknya tindakan dan hukuman wajar dikenakan bagi pihak yang bertanggungjawab sebagai pengajaran kepada yang lain.

Akan tetapi malangnya, belum pun keputusan akhir dibuat, sudah ada pihak yang begitu gopoh untuk mengambil tindakan dan menuduh pihak berkuasa tidak menjalankan kerja dengan betul.

Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) dilaporkan dalam media akan mengadakan lawatan pemeriksaan ke kilang Cadbury minggu ini bagi siasatan lanjut atas kapasiti tugas KKM dalam melakukan pemantauan berdasarkan kuasa di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Manakala, urusan berkaitan persijilan halal akan terus dijalankan oleh JAKIM dalam isu ini.

KKM patut menyerahkan hasil siasatan dan penemuan kepada JAKIM. Dalam erti kata lain, kedua-duanya harus bekerjasama dan tidak membuat kenyataan yang berbeza.

Agaknya, bagaimanakah kalau ada kesilapan atau kecuaian dalam hal ini? Tidak dapat dibayangkan jika pihak Cadbury pula menyaman pihak yang gopoh mendakwa dan memburukkannya.

Ketiga, setakat pengetahuan saya, terdapat syarat-syarat yang begitu ketat yang dikenakan oleh JAKIM kepada sesuatu produk atau pengusaha sebelum boleh memperoleh Sijil Halal.

Maka di sini kita harus maklum, sijil tersebut dikeluarkan berdasarkan produk yang diberikan kepada JAKIM, dengan penerangan dan ujian terperinci.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM), Dr Zaharuddin Abdul Rahman dalam Facebook beliau pula menyebut:
Berkaitan isu coklat Cadbury, saya mencadangkan agar status halal pada makanan lebih kredibel dan wibawa, suatu peraturan undang-undang bagi semua pengeluar makanan yang ingin status halal mesti diperkenalkan. Contohnya, bagi setiap kilang makanan & minuman yang ingin disahkan halal, mesti mempunyai Internal Halal Auditor atau Eksekutif Halal selain perlu External Halal Auditor yang independent. Dengan demikian tanggngjawab ini tidak hanya terpikul ke atas JAKIM sahaja. Cadangan ini telah saya maklumkan kepada YAB Perdana Menteri minggu lepas dalam satu pertemuan anjuran YADIM

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 27 Disember 2012 telah mewartakan fatwa yang antara lain menyebut:
Produk makanan atau minuman yang telah dikaji secara terperinci dan semua ramuan, kandungan dan cara pemprosesannya telah disahkan sebagai bersih, suci dan halal serta telah menjadi bahan makanan dan minuman umat Islam secara meluas, tetapi kemudiannya didapati produk tersebut mengandungi bahan-bahan najis seperti DNA babi akibat daripada pencemaran yang tidak disengajakan atau tidak disedari, maka adalah harus bagi umat Islam mengambilnya sebagai makanan atau minuman kerana kandungan asal produk tersebut adalah halal

Kita dapat fahami di sini bahawa sekiranya kewujudan kandungan DNA babi dalam makanan yang bukan disengajakan selepas kajian terperinci mendapati ia suci dan halal, maka hukum pengambilannya tidak berubah.

Keempat, kita mestilah beramal dalam kehidupan dengan ilmu dan panduan daripada agama.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abi Tha’labah al-Khusyaniy, ketika para sahabat bertanya:

يا رسول الله، إنا بأرض قوم أهل كتاب أفنأكل في آنيتهم؟

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, apakah boleh kami makan menggunakan peralatan mereka?

Jawab baginda Nabi SAW:

إذا وجدتم غيرها فلا تأكلوا، وإذا لم تجدوا فاغسلوها، وكلوا فيه

Maksudnya: Jika kamu semua dapati yang lain maka jangan kamu semua makan dengannya. Jika kamu semua tidak dapati yang lain, maka basuhlah ia dan makanlah dengannya.” – Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam hadith yang lain yang turut diriwayatkan oleh Tha’labah, maksud peralatan yang disebutkan dalam hadith di atas adalah bekas digunakan untuk memasak daging babi dan bekas yang digunakan untuk meminum arak seperti yang dinyatakan dengan jelas di dalam hadith riwayat Abu Daud:

إنا نجاور أهل الكتاب وهم يطبخون في قدورهم الخنزير، ويشربون في آنيتهم الخمر؟

Maksudnya: Sesungguhnya kami berjiran dengan Ahli Kitab, mereka memasak babi di dalam bekas-bekas makanan mereka, dan meminum arak?”, lalu baginda memberi jawapan seperti jawapan sebelum ini.

Dalam satu bab yang lain, syara’ tidak mewajibkan ke atas kita untuk menyamak haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan. Maka kalau kita lihat dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Maka makanlah dari apa yang telah ditangkapnya untuk kamu (oleh anjing buruan), dan sebutlah Nama Allah di atasnya.” – Surah Al-Maaidah, QS5:4

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh ‘Adi bin Hatim Al-Taa’iy RA, Nabi SAW bersabda:

إذا أرسلت كلبك المعلم وذكرت اسم الله ، فكل ما أمسك عليك

Maksudnya: “Sekiranya kamu telah utuskan anjing kamu yang telah diajar dan kamu telah menyebutkan nama Allah, maka makanlah apa yang telah ditangkap untukmu.” – Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kalau kita melihat kedua-dua nas daripada Al-Quran dan juga hadith tentang anjing buruan, syara’ sekadar menyebutkan tentang perlunya kita membaca bismillah apabila kita menghantar (melepaskan) sahaja anjing untuk menangkap haiwan seperti yang disebutkan oleh Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar itu. Tidak perlu menyamak haiwan yang ditangkap oleh anjing berkenaan.

Dalam dua perkara yang disebutkan di atas, kita dapat simpulkan bahawa kita jangan memandai-mandai untuk membuat sesuatu yang di luar daripada kerangka panduan yang digariskan oleh syara’.

Ia seperti kenyataan yang dipetik daripada Malaysiakini yang mahu kilang coklat Cadbury yang dua produknya dikesan mempunyai DNA babi membayar kos menukar darah kepada semua umat Islam yang telah termakan bahan haram berkenaan. Ini satu kenyataan yang bercanggah dengan ajaran Islam. Video kenyataan tersebut: http://www.kinitv.com/video/7333O74

Adakah non Muslims yang suka memakan babi, kemudian dia memeluk Islam, perlu membuat penukaran darah? Ataupun, non Muslims yang suka memakan babi susah mendapat hidayah Allah kerana ia mengganggu unsur kerohaniaan dalam diri? Ataupun, Muslims yang memakan perkara haram akan menjadi benak?

Sangat tidak patut untuk kita menimbulkan salah faham orang ramai dalam kalangan Muslims dan non Muslims tentang agama Islam.

Firman Allah SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “Tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” – Surah al-Ahzab, QS33:5

Dalam sebuah hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Ibn ‘Abbas RA:

إن الله تجاوز عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatau (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka” – Hadith sahih, Riwayat Ibn Majah

Maka, tidak perlu untuk umat Islam samak mulut atau cuci darah kerana termakan benda haram dan ia tidak berdosa di sisi syara’.

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam twitter beliau menyebut: “Some Muslims in Malaysia behave as if one is consuming something with DNA from pig, he himself turned into pig. This is worse than epilepsy

Kelima, bagi mereka yang biasa ke luar negara untuk urusan belajar atau kerja dan sebagainya, prinsip yang digunakan dalam memilih makanan adalah sepertimana yang digariskan Al-Quran dalam Surah al-Maidah ayat 3-5, juga sepertimana yang dikupas oleh Shaikh Yusuf Al-Qaradhawi didalam kitabnya Halal wa Haram Fil Islam. Dua prinsip asas yang digunakan adalah "Setiap sesuatu itu adalah halal, melainkan ada dalil/bukti yang jelas menunjukkan keharamannya.", dan "Perkara yang ghaib tidak kita tanyakan."

Maka, apabila hendak membeli apa-apa produk makanan, kandungannya akan disemak dan dipastikan tiada ada benda larangan. Di pasaraya-pasaraya besar, terdapat section khas "halal" yang menempatkan daging dan ayam yang disembelih mengikut syara’.

Oleh sebab itulah, saya secara peribadi menyokong saranan sebahagian sarjana atau ilmuan Islam yang mencadangkan agar dilaksanakan logo haram berbanding halal. Hal ini kerana, prinsip dalam Islam bukanlah semua makanan adalah haram kecuali yang dinyatakan halal, tetapi sebaliknya.

Terlalu sedikit perkara yang diharamkan disebutkan dalam al-Quran dan as-Sunnah. Namun, pelaksanaan logo halal tidak salah, tetapi kita harus perkasakan pelaksanaannya selain tidak terlalu bersikap jumud tentangnya.

Keenam, terdapat satu kaedah dalam ilmu fiqh yang dipanggil istihalah. Dari sudut istilah syara’, pada dasarnya para ulama’ mendefinisikan istihalah sebagai perubahan sesuatu benda kepada sesuatu yang lain di mana ia melibatkan perubahan total perkara tersebut daripada satu bentuk keadaan kepada bentuk yang lain. (Mawsu`ah Jamal `Abd al-Nasir: 5:7)

Dalam konteks yang lebih khusus, istihalah merujuk kepada perubahan sesuatu yang najis kepada sesuatu yang suci, iaitu seperti perubahan zat dan sifat najis, arak dan babi menerusi proses-proses tertentu seperti pembakaran, pemeraman atau perubahan yang berlaku dengan bercampurnya sesuatu yang najis dalam bahan yang suci seperti unsur-unsur babi yang dicampur dengan garam sehingga ia menjadi garam. (al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah: 213)

Secara umumnya, berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan fuqaha’ berkenaan istihalah bahan babi ini, atas apa nama sekali pun. Para ‘ulama Mazhab Hanafi dan Malik kebanyakkannya menerima konsep istihalah ini secara meluas.

Manakala dalam mazhab Syafie, konsep istihalah ini diterima dalam tiga perkara sahaja iaitu:
i) arak yang menjadi cuka dengan secara tabi’e;
ii) kulit binatang yang mati selain dari anjing dan babi apabila disamak; iii) sesuatu yang berubah menjadi binatang, seperti bangkai yang bertukat menjadi ulat, kerana wujudnya kehidupan (Wahbah al-Zuhaili: 1: 101) Arak yang berubah menjadi cuka disebabkan perbuatan manusia mengubahnya bagi tujuan mempercepatkan proses pertukaran tidak dianggap suci. (Wahbah al-Zuhaili: 1: 110). Mazhab hanbali mempunyai pendirian yanhg hampir sama dengan mazhab Syafie.

Maka, bagi sesiapa yang memilih pandangan bahawa berlakunya istihalah dalam coklat Cadbury, maka boleh untuk dia makan, walau daripada sumber mana sekali pun, atas alasan telah berlakunya perubahan struktur babi tersebut. Namun bagi yang sebaliknya, maka haram hukumnya. Ini merupakan pandangan yang dipilih oleh JAKIM sendiri yang diterjemahkan melalui penarikan balik sijil halal yang dikeluarkan kepada dua produk Cadbury berkenaan.

Kesimpulan ulasan saya:

1 – Kita hendaklah mengkaji kesahihan khabar berita yang sampai kepada kita sebelum menyebarkannya atau mengambil tindakan lanjut agar tidak menganiayai atau menzalimi mana-mana pihak.

2 – Maka, adalah lebih baik untuk kita diam sekiranya kita tidak mempunyai ilmu tentang sesuatu perkara. Boleh jadi ulasan dan sebaran kita itu membawa kepada dosa, kerana berdasarkan tuduhan atau cakap-cakap orang semata-mata tanpa asas yang boleh diterima.

3 – Islam sebagai agama rahmat kepada seluruh ‘alam sentiasa menonjolkan sifat kesejahteraan dan kasih sayang Allah. Maka, Allah tidak akan menghukum kita sekiranya memakan sesuatu yang haram tanpa diketahui dan disedari. Tidak wajar mengatakan rahmat dan hidayah terhijab atau amalan ditolak kerananya.

4 – Ingin saya tegaskan kembali bahawa ini adalah pandangan peribadi saya berdasarkan kapasiti penuntut ilmu yang masih lagi terus belajar dan menambah ilmu. Maka, saya memohon jutaan kemaafan atas salah silap, dan tolong perbetulkan sekiranya ada perkara yang salah, insyaAllah saya akan mengubah artikel ini. Coretan ini sebenarnya turut merujuk kepada beberapa sumber seperti di bawah.

Semoga Allah rahmati kita dan ampuni keterlanjuran kita dalam urusan hidup di dunia yang sementara ini. Moga Allah redha. Wallahua’lam.

——————————————————————————-

Antara rujukan:-

1 – Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, http://www.muftiselangor.gov.my/ms/fatwa-terkini/212-hukum-pencemaran-asid-deoksiribonukliek-dna-babi-pada-produk-makanan-yang-disahkan-halal-penelitian-dari-aspek-sains-dalam-menentukan-kaedah-penyelesaiannya-mengikut-aspek-syarak

2 – Kenyataan Dr Zaharuddin Abdul Rahman, https://www.facebook.com/zaharuddin.abdrahman.1/posts/714338231961152

3 – Kenyataan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, https://twitter.com/muarrikhun/status/471271167605497856

4 – Koleksi laporan akhbar berhubung kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, https://www.facebook.com/media/set/?set=a.10152035779411237.1073742047.373560576236&type=1

5 – Kenyataan daripada Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/posts/10152033880071237 dan https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/photos/pcb.10152029586266237/10152029586001237/?type=1&theater

6 – Rujukan tentang Istihalah, http://www.najahudin.com/muat%20turun/Halal%20Food%20&%20Babi/Pendekatan%20Istihalah%20Dalam%20Produk%20Yang%20Berunsurkan%20Babi.pdf dan https://fiqhmedic.wordpress.com/tag/istihalah/

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: