Krisis Politik Selangor: Satu Muhasabah Pendek

Krisis politik di Selangor kini sudah menjadi isu nasional, setelah berjaya mencuri tumpuan ramai sejak hampir sebulan yang lalu. Apa yang pasti, sebahagian daripada kita melontarkan komen yang pelbagai nada dan perspektif terhadap situasi yang berlaku di Facebook terutamanya.

Dalam krisis yang berlaku sekarang, antara perkara yang dikesali adalah apabila sebahagian orang mula skeptik dengan ahli politik, tidak kira daripada parti mana sekalipun.

Sebahagian kita mudah mengeluarkan kata-kata keji lagi buruk kepada ahli politik yang ada, sedangkan siapalah kita untuk menilai seseorang itu secara berlebihan. Biarlah Tuhan yang mengetahui yang zahir dan batin mengadili mereka yang zalim.

Kata-kata yang menyakitkan itu sebenarnya memberikan kesan terhadap jantung hati kita sendiri, serta orang lain yang membacanya, yang pastinya memberikan impak negatif dalam pembangunan masyarakat.

Sememangnya mudah untuk kita mengkritik dan memberi komen terhadap orang lain, kerana kita hidup dalam corak yang jauh dari serangan kritikan dan kutukan. Hal ini berbeza dengan politik yang merupakan satu gelanggang pertarungan persepsi.

Hakikatnya, politik memang kotor, berlumpur dan menjijikkan. Dalam kekotoran politik ini, ada tokoh yang turun ke dalamnya meskipun tahu kelak mereka akan dicemuh dan dikeji, kerana mereka turun ke medan politik. Mereka tidak akan dapat lari daripada kritikan dan cacian.

Sebahagian daripada kita boleh bercakap kita pun turun berbakti pada masyarakat, tetapi kita turun di medan yang bersih. Atas nama badan bukan kerajaan dan aktiviti kesukarelawan. Dengan aktiviti seperti memberi makan pada golongan gelandangan, berbakti kepada orang tua dan anak yatim. Memang tiada sesiapa akan kutuk secara umumnya malah memuji, dan kekadang kita berasa riak dengan sumbangan kita itu.

Hal ini berbeza dengan ahli politik. Mereka yang turun terlibat dalam kancah politik, ada yang turun dengan niat murni, tetapi kerana terpalit dengan lumpur ketika turun berperang, maka sebahagian kita jijik dengan mereka. Seolah-olah semua mereka kotor. Kita pukul rata dengan semuanya walaupun hanya segelintir yang bermasalah. Mereka yang tidak berani ‘bertumbuk’ dalam politik dilihat paling bersih, dan paling layak memimpin.

Kita skeptik dengan politik, sedang kerja kesukarelawan saja tidak cukup untuk mengubah bagi membentuk persekitaran yang kondusif di negara kita. Badan bukan kerajaan berperanan dalam membentuk kekuatan masyarakat madani, sedangkan politik bermain dengan kuasa dan pemerintahan, dalam memacu perubahan tentang dasar dan polisi.

Bayangkan, jika tiada langsung parti politik membawa manifesto yang menjanjikan untuk membawa negara ke arah lebih baik, atau mereka yang menyinsing baju dan seluar mereka ke medan berlumpur ini membawa hasil didikan agama atau tarbiyah yang pernah mereka lalui, maka siapa agaknya yang akan mengambil tanggungjawab dalam memperjuangkan kebenaran dalam kancah politik?

Politik ada seninya. Ia lebih susah daripada menguruskan sebuah organisasi syarikat perniagaan. Seseorang yang tinggi ilmunya terutama ilmu agama belum tentu mahir berpolitik.

Nilai kepimpinan seorang individu itu dilihat bukan setakat daripada sudut amanah, tetapi juga kekuatan atau kredibilitinya. Maka, kita yang memerhati dan menilai percaturan politik perlu membanyakkan pembacaan dan kajian serta tidak mudah membuat kesimpulan atas sesuatu perkara. Ini kerana ahli politik juga perlu berijtihad dalam melakukan tindak tanduk dan keputusan.

Bukan semua orang nampak sesuatu perkara dengan satu pandangan sama, kerana berbeza cara fikir dan pengalaman hidup masing-masing. Maka, kita seharusnya berlapang dada dalam menghadapi perbezaan pendapat, demi menjaga kesejahteraan sejagat. Yang paling penting, bahasa melambangkan dalaman kita.

Sama-sama kita doakan kebaikan dan kesejahteraan dalam perjalanan politik di negara kita ini, serta berusaha sedaya upaya menyumbang ke arah perubahan yang lebih baik. Moga Allah merahmati kita dan ampuni keterlanjuran kita dalam urusan hidup di dunia yang sementara ini.

One Response to “Krisis Politik Selangor: Satu Muhasabah Pendek”

  1. Last-last Azmin Ali gak yg jadi MB. Baik takyah tukar MB Sngor. Khalid Ibrahim pun dah OK.

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: