Apabila manusia nak ambil alih kerja Tuhan

Seorang pemuda membuat satu group whatsapp, yang mana dia masukkan para asatizah yang dikenalinya ke dalam group berkenaan dengan nama “Diskusi Fekah” walaupun tujuan sebenarnya adalah untuk bertanya soalan fiqh.

Maknanya, apabila dia ada apa-apa kemusykilan berkenaan agama, dia akan post soalan berkenaan ke dalam group tersebut dengan harapan mendapat jawapan pantas dan mudah serta pelbagai daripada ustaz-ustaz yang ada.

Adakah ini satu fenomena yang baik?

Dalam satu contoh yang lain, seorang ahli gerakan Islam bersemangat post di halaman Facebook miliknya berkaitan isu Palestin. Hampir setiap jam dia post sesuatu berkenaannya, sama ada artikel atau video yang diambil daripada tempat lain.

Satu ketika, semasa berborak dengan sahabatnya di restoran, rakannya itu berkata kepadanya, “Mantap la kau duk post kat FB pasal Palestin. Aku nak explain secara detail kedudukan Palestin pun fail kot”. Dia pun balas, “Err aku pun rasanya. Haha”.

Apa yang tidak kena dengan pendakwah muda ini?

Ramai pendakwah suka quote ayat al-Quran dari surah ke-16 ni:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ

Maksudnya: “Serulah (mereka) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik, berdebatlah dengan cara yang terbaik. Sessungguhnya Tuhanmu yang lebih mengetahui akan siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih tahu siapa yang berada atas petunjuk

Islam adalah sebuah agama yang lengkap. Elemen yang ditekankan dalam dakwah bukanlah sekadar apa kandungan atau intipati untuk kita sampaikan kepada manusia, tetapi juga cara dan pendekatan dalam menjalankan misi berkenaan. Bahasa mudahnya, kita bukan sekadar diajar apa yang kita patut cakap, tetapi juga bagaimana kita patut cakap.

Jika hanya mesej yang penting tetapi tidak kisah apa pendekatan sekalipun, ayat ini sudah lengkap dengan hanya menyebut “Serulah manusia ke jalan Tuhanmu”. Namun, Allah SWT menegaskan juga dalam ayat ini, apakah cara nak seru itu. Maka, kita dapat fahami di sini, kedudukan kandungan dan pendekatan itu sama penting.

Cara dakwah yang dididik oleh Allah kepada kita dalam ayat ini iaitu hikmah, nasihat yakni perkataan yang baik dan berdebat dengan cara yang terbaik dengan maksud kita berbahas atau berbincang dengan ilmu, bukan dengan emosi atau sentimen. Debat yang terbaik ialah debat yang berteraskan ilmu dan disiplinnya, bukan andaian dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, kebanyakan para pendakwah selalu menekankan bahagian awal sahaja iaitu perkara yang disebutkan tadi. Sedangkan, ada satu mesej berbentuk peringatan penting yang Allah sampaikan kepada kita pada bahagian hujung.

kita-dakwah

Tugas kita sebagai pendakwah adalah untuk menyampaikan mesej Islam dan mengajak manusia kepada kebenaran dengan cara yang betul. Namun, bukanlah kerja kita sebenarnya untuk menilai seseorang; menentukan siapa yang benar dan yang sesat, atau bahasa mudahnya menghukum. Apatah lagi untuk kita mengatakan seseorang atau satu kelompok sebagai ahli syurga atau neraka.

Kita tidak tahu apa yang ada dalam sanubari seseorang insan. Boleh jadi dia menolak dakwah kita kerana pendekatan kita yang salah. Ataupun, dia menerima tetapi memerlukan masa untuk berubah. Perubahan itu memang mengambil masa dan proses untuk berlaku.

Oleh sebab itulah, Allah Ta’ala menyatakan dalam Surah al-‘Asr tentang ciri orang yang tidak rugi ialah orang yang berpesan-pesan dengan kebenaran, diikuti berpesan-pesan dengan kesabaran.

Sabar bagi kita pendakwah adalah untuk tidak sampai ambil alih kerja Tuhan sehingga menilai jantung hati manusia dengan mengatakan seseorang itu menolak kebenaran, atau dilabel kafir harbi dan sebagainya. Pada masa yang sama, kita juga didakwah dan perlu sentiasa melakukan perubahan pada diri sendiri, kesabaran diperlukan agar kita tidak mudah putus asa daripada rahmat Allah ‘Azza Wa Jalla sekiranya kita melakukan kesalahan atau sukar memperbaiki sesuatu pada diri.

Tidaklah dinafikan ada keperluan untuk seseorang ilmuan mengkritik ilmuan lain yang menyeleweng dalam fakta dan ajaran yang dibawa, yang memang ada kadangkala ia sehingga menyentuh perkara usul dalam agama. Ia adalah tindakan yang penting, khususnya sebagai panduan orang awam. Namun, ilmuan yang halus perasaannya dan luas pertimbangannya, tidak mudah menghukum seseorang atau sekumpulan manusia sebagai sesat atau kafir. Kritikan hanya sekadar atas ajaran atau hujah orang berkenaan.

Dalam sebuah hadtih Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari radiallahu ‘anh:

لا يرمي رجلٌ رجُلًا بالفسوقِ ، ولا يرميهِ بالكفرِ ، إلَّا ارتدَّت عليهِ  إن لَم يَكن صاحبُه كذلِك

Maksudnya: “Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula dia menuduhnya dengan kekafiran, melainkan hal ini akan kembali kepadanya jika orang yang tertuduh tidak demikian” – Hadith Riwayat al-Bukhari

Dalam surah ke-49 iaitu surah al-Hujurat, Allah berfirman:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ۬ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُمۡ وَلَا نِسَآءٌ۬ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُنَّ‌ۖ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) menegur dengan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan menegur dengan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka

"Sukhriyyah" boleh didefinasikan sebagai satu bentuk teguran yang bersifat merendahkan atau menjatuhkan orang lain. Contohnya, “Mu dengar tak apa aku dengar tadi? Telinga letak kat mana? Kat lutut?”
atau “Hang tak pakai tudung ni nak masuk neraka eh”

Bahasa sindiran adalah bahasa Allah SWT Yang Maha Agung dan selayaknya untuk Dia menggunakannya dalam menegur makhluk-Nya. Siapalah kita hamba yang kerdil dan hina untuk bahasakannya dengan hamba yang lain.

Sebagai penutup, Surah ke-18 iaitu surah al-Kahfi, Allah Ta’ala mengajar kita pentingnya ilmu diiringi dengan rahmat. Adanya pasangan ini membawa kita menjadi seorang pendakwah yang menyampaikan kebenaran dengan cara yang betul dalam akhlak dan adab yang baik.

Sebaliknya, apabila ilmu tercabut atau terpisah daripada rahmat, ilmu berubah daripada menjadi aset kepada liabiliti. Hilangnya adab yang patut dijaga dengan seorang murobbi, guru atau ilmuan, gagal beragama dengan akal yang sihat, sehingga seakan ingin mengambil alih kerja Tuhan. Bukan setakat berlagak sombong dan takabbur dengan suka menghukum manusia dengan perkataan dan tuduhan, malah mungkin sampai ke tahap perbuatan berbentuk penganiayaan dan keganasan yang sama sekali tidak dapat diterima oleh jiwa yang luhur.

Artikel sebelum ini telahpun membahaskan tentang bahana keilmuan yang tinggi tetapi bermasalah dalam akhlak dan adab.

Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:

إِذۡ أَوَى ٱلۡفِتۡيَةُ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ فَقَالُواْ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةً۬ وَهَيِّئۡ لَنَا مِنۡ أَمۡرِنَا رَشَدً۬ا

Maksudnya: “(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan para pemuda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada ilmu dari sisi-Mu dengan rahmat, dan berilah petunjuk kepada kami dalam urusan hidup kami

2 Responses to “Apabila manusia nak ambil alih kerja Tuhan”

  1. Alhamdulillah. Terima kasih ustaz atas komen dan inspirasi yang diberikan. Ia memang berikan suntikan semangat untuk terus berkarya insyaAllah. Barakallahu fik.

  2. Kupasan yang baik. Saya mengambil manfaat daripadanya. Teruskan berkarya, sahabat.

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: