Usah berenang di permukaan, masuk ke dalam!

Coretan ini ditulis bagi memberikan sedikit ulasan terhadap beberapa isu dan peristiwa yang berlaku dalam dunia akhir zaman ini, pastinya menjadi bualan masyarakat.

Dalam dunia yang menghampiri saat kehancuran, kita semakin pening dan bercelaru melihat gelagat manusia yang pelbagai. Sehingga, ada insan yang hilang kepercayaan kepada makhluk berakal ini kerana pengalaman yang sangat memeritkan lagi menyakitkan bersama manusia yang bermuka-muka.

Biarlah aku dengan tuhanku!”, jeritnya. Kita yang tidak ingin memahami mungkin memandangnya sebagai terlalu idealistik atau tidak realistik dalam hidup di alam nyata ini. Namun, tahukah atau fahamkah kita akan apa yang telah dilaluinya sehingga dia jadi begitu? Atau, bahasa mudahnya kenapa dia jadi macam tu?

Tuntutan Islam agar ‘adil dalam penilaian

Manusia mungkin dan biasa melakukan kesilapan, tetapi sikap yang suka menghukum tanpa belas kasihan juga sesuatu yang tidak kena. Tatkala diri sendiri berada di kandang tertuduh, diberikan pelbagai hujah dan jawapan untuk menjustifikasi kesalahan. Sampailah kita yang inginkan keadilan merasakan betapa besarnya erti hidup ini pada setia dengan kebenaran.

Allah Ta’ala menyuruh kita bersifat ‘adil walaupun kepada orang yang kita benci. Firman Allah ‘Azza wa Jalla:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْ‌ۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” – Surah al-Maidah, ayat 8

Berapa ramai dalam kalangan kita yang mampu membenarkan kebenaran yang diungkapkan oleh mereka yang kita gelar musuh Islam, geng sesat dan sebagainya? Sebahagian kita bukan sekadar tidak mengatakan ia benar, tetapi bersangka buruk dengan tanggapan ia kata-kata bersifat populis atau ada udang di sebalik batu.

Rasulullah Sollahu ‘alaihi wasallam juga memberi peringatan kepada kita agar tidak mudah menuduh orang lain sebagai fasiq mahupun kafir. Dalam sebuah hadtih Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari radiallahu ‘anh:

لا يرمي رجلٌ رجُلًا بالفسوقِ ، ولا يرميهِ بالكفرِ ، إلَّا ارتدَّت عليهِ  إن لَم يَكن صاحبُه كذلِك

Maksudnya: “Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula dia menuduhnya dengan kekafiran, melainkan hal ini akan kembali kepadanya jika orang yang tertuduh tidak demikian” – Hadith Riwayat al-Bukhari

Sikap berhati-hati dan halus pertimbangan dalam menilai seseorang dan berlaku ‘adil kepada sesiapa jua menjadi teras yang harus kita pegang, apatah lagi yang melibatkan niat atau apa yang ada dalam sanubari insan.

Isu kritikan kepada JAKIM

Dalam satu isu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen menulis di Twitternya, yang bermaksud: “JAKIM mempromosi ekstremis setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius menentang ekstremis di Malaysia.”

Diri ini terfikir tatkala membaca tweet berkenaan, terfikir beberapa soalan. Apa kandungan yang ekstrem dalam khutbah jumaat(jikalau itu yang dirujuknya)? Kenapa dia kata macam tu(walaupun dia dah delete tweet berkenaan)? Kritikan itu dituju kepada JAKIM(Autoriti dalam agama Islam) atau Islam?

Umum mengetahui bahawa Khutbah Jumaat tentulah tak ekstrem, kerana jika ia sesuatu yang ekstrem, pasti ia tak membuatkan orang boleh tidur sambil duduk bersila. Namun pada satu sisi yang lain, kita boleh bersetuju bahawa yang ekstrem tentulah orang atau pihak yang menggunakan kuasa untuk menyekat pengkritik JAKIM atau badan berkuasa agama; juga kelompok yang bersetuju menghina Islam adalah kebebasan bersuara sedangkan menghina orang Cina adalah rasisme, atau mengutuk orang Kristian adalah buli minoriti, lalu mengkritik orang yang tak sokong perjuangan hak asasi manusia versi mereka.

Berkenaan tweet itu, sebaiknya kita berikan peluang kepada beliau untuk memberi penjelasan akan apa yang dimaksudkan daripada kita membuat andaian dan penafsiran sendiri. Sekiranya beliau menyatakan bahawa beliau silap dalam kenyataannya, maafkan dan beri penjelasan kepada beliau tentang apa itu khutbah dan solat Jumaat agar beliau lebih memahami Islam.

Isu Charlie Hebdo – Kebebasan eskpresi?

Dalam isu serangan di pejabat akhbar minggu berbahasa Perancis, Charlie Hebdo dan pembunuhan 12 orang oleh tiga lelaki bersenjata, Islam sekali lagi menjadi sasaran dengan tuduhan keganasan. Ada satu video yang menarik bila mana kita nak bercakap tentang isu ini yang menampakkan berat sebelahnya media yang menjadi senjata utama dalam memburukkan Islam.

Double-faced in freedom of expression?

Memang kebanyakan pemimpin Barat hipokrit dalam mempertahankan kebebasan. Hukuman tanpa bicara CIA, Patriot Act di Amerika dan hijab ban di Perancis menuntut agar kebebasan perlu diperjuangkan lagi. Pastinya, kebebasan itu perlu hadir dengan tanggungjawab. Tariq Ramadan ada menyebut, “There is no freedom without discipline”. Bukannya dengan senang hati mengeluarkan tuduhan tanpa usul periksa, memaki hamun atau menghina tanpa asas, atau sengaja bercakap sesuatu yang boleh menyakitkan perasaan orang lain.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radiallahu ‘anh, sabda Nabi Sollallahu ‘Alaihi Wasallam:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam” – Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Beberapa persoalan boleh kita tanya dan jawab. Betulkah Muslim yang bunuh itu, ada bukti? Kalau betul, adakah itu ajaran Islam? Adakah kalau ada ‘pengganas’ dari kalangan orang Yahudi maka ia bermakna agama Yahudi mengajar keganasan? Kenapa kita hipokrit? Kenapa sebahagian Muslim terlalu reaktif sehingga hilang adab dan akhlak?

Kita sememangnya sepakat untuk bersetuju bahawa pembunuhan ke atas pelukis Charlie Hebdo ialah tindakan yang salah, tak bertamdun dan tidak Islamik. Keganasan atas nama apa pun mestilah ditolak. Namun, kita juga harus setuju bahawa sokongan terhadap Charlie Hebdo sebagai simbol kebebasan ekspresi dan hak asasi manusia adalah sikap hipokrit, yang pada masa yang sama ‘mengharamkan’ tunjuk perasaan aman pro-Palestin.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

لَا تَسۡتَوِى ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ‌ۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُ ۥ عَدَٲوَةٌ۬ كَأَنَّهُ ۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌ۬

Maksudnya: “Tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib” – Surah Fussilat, ayat 34

Isu K-Pop: Apa lainnya dengan budaya selama ini?

Dalam satu lagi isu yang tidak kurang hangatnya iaitu isu K-Pop dan anak-anak remaja perempuan bertudung mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.

Ada beberapa persoalan timbul. Kenapa isu ni heboh sangat padahal banyak saja adegan berpelukan dalam filem atau drama kita? Atau sebab gadis itu bertudung, maka itu yang jadi pemangkin kepada kontroversi ini? Adakah dengan hanya menghalang konsert K-Pop menyelesaikan krisis ini? Apa masalah sebenar yang menjadi isu pokok dalam hal ini?

Antara perkara yang ingin disebutkan di sini ialah kegagalan kita dalam membezakan antara punca dan petanda/simptom. Benar ia adalah satu masalah, tapi ia merupakan petanda kepada satu masalah utama yang menjadi pokok kepada banyak isu lain. Apakah isu pokoknya?

Bagi saya, masalah besar kita adalah kegagalan pendidikan kita membentuk individu yang mampu berfikir dengan baik sehingga menjadi seorang yang tidak jelas hala tuju dalam hidupnya, malah pendidikan agama tidak menekankan dengan begitu penting tentang aqidah dan essence of the religion. Sejauh mana didikan itu menjadikan seseorang beragama dengan kesedaran bertuhan, serta tunduk menerima arahan dan larangan-Nya itu adalah untuk kebaikan kita kerana Dialah yang mencipta kita.

Dalam erti kata lain, bukanlah tudung itu sebagai perisai daripada melakukan maksiat dan kemungkaran, tetapi kesedaran yang ada pada diri dalam agama yang dianuti. Oleh sebab itu, ada sahaja Muslim yang tidak menutup aurat atau Non Muslim yang sangat menjaga kelakuannya, kerana ada pegangan yang mereka percayai walau ia pada sudut lain kelihatan rapuh.

Maka, solusi secara praktikal yang dapat disebutkan secara ringkas di sini ialah perlunya kita memperkasakan pendidikan dalam masyarakat kita, yang tentutnya ia bermula dalam peringkat keluarga dan kenalan sekeliling kita. Amat pelik jikalau kita tak menegur atau menasihati kawan kita di alam nyata tatkala dia ada buat silap, tetapi boleh pula menulis status di Facebook tentang kesalahan itu. Hadapi manusia dengan psikologi dan ilmu kemanusiaan yang betul, bukan semberono.

Perkasakan Dakwah & Tarbiah

Perubahan itu tentulah mengambil masa dan proses yang panjang. Terlalu gopoh untuk melihat perubahan dengan mata kasar bukanlah sifat yang ada patut pada seorang Muslim. Mungkin seseorang yang kita nasihati secara berhadapan tidak berubah sekarang, tetapi kita harus percaya ada kehendak dan usaha oleh dirinya untuk berubah sama ada kita tahu ataupun tidak.

Begitu juga sifat berkomentar hanya pada zahir isu tanpa cuba memahaminya dengan lebih mendalam selain pendekatan menggunakan kuasa semata-mata, menampakkan sikap kita yang hanya suka berenang di permukaan tanpa masuk ke dalam.

Terlalu suka menyalahkan orang lain seperti orang Kristian atau barat pula bukanlah sesuatu yang menyelesaikan masalah. Kita tahu mereka ada agenda untuk menyebarkan agama dan ideologi mereka, tetapi yang lebih penting apa agenda kita sebagai tindak balas, yang antaranya mengukuhkan jati diri kita yang dimuliakan oleh Tuhan dengan Islam melalui proses dakwah dan tarbiah.

Mengakhiri artikel ini, ingin diri ini kongsikan kata-kata agung ‘Umar ibn Khattab radiallahu ‘anh ketika mahu menerima kunci Baitul Maqdis daripada Panglima Rom sebagai lambang kemerdekaan bumi Palestin daripada penjajahan Rom:

اِنَّا كُنَّا أَذَلَّ قَوْمٍ فأَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نَطْلُبُ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا الله

Maksudnya: “Kita dahulunya merupakan kaum yang sangat hina, tetapi Allah memuliakan kita dengan Islam. Maka jika kita mencari kemuliaan selain daripada kemulian Islam yang telah memuliakan diri kita, maka kita pasti akan dihina oleh Allah” – Al-Hakim dalam al-Mustadrak

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: