Manusia yang sihat akalnya akan memberontak!

Seorang ‘ulama salaf bernama ‘Abdullah bin Maslamah bin Qa’nab al-Harithi, yang lebih dikenali sebagai al-Qa’nabi (130-221H), merupakan anak murid al-Imam Malik bin Anas rahimahullah. Al-Qa’nabi dianggap antara murid Malik yang terbilang, dianggap perawi al-Muwatta’ yang paling dipercayai(thiqah).

Dia mendampingi al-Imam Malik di Madinah dalam tempoh yang lama, dikatakan selama lebih 20 tahun.  Beliau amat disanjungi oleh ahli-ahli hadis lain kerana sifat zuhud dan kuat beribadah. Beliau juga salah seorang guru kepada Imam al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud. Namanya amat besar dalam dunia periwayatan hadis.

Dalam kitab karangan seorang ‘ulama bernama Abdul Rahman bin Ali bin Muhammad Al-Jauzi yang terkenal dengan panggilan Ibnul Jauzi (meninggal 597H) bernama Kasyf al-Musykil min hadith As-Sahihain, menyebut riwayat daripada salah seorang anak al-Qa’nabi bahawa bapanya dahulu semasa di Basrah meminum nabiz (air perahan/tuak) dan terlibat dengan perkara yang tidak baik.

Pada suatu hari, seorang illmuan hadis besar Basrah iaitu Syu’bah bin al-Hajjaj lalu bersama dengan orang ramai yang mengikutnya. Al-Qa’nabi bertanya: “Siapakah dia ini?”. Mereka memberitahunya: “Itu Syu’bah”. Dia berkata: “Syu’bah mana ni?”. Mereka menjawab: “Muhaddith (ahli hadis)”.

Al-Qa’nabi kemudiannya pergi menahan Syu’bah lalu berkata: “Bacakan kepadaku hadis”. Syu’bah menjawab: “Engkau bukan dalam kalangan ahli hadis untuk aku meriwayatkan hadis untukmu”. Lalu al-Qa’nabi mengugutnya dengan pisau sambil berkata: “Sama ada kau riwayatkan hadis untukku ataupun aku cederakan kau”.

Maka Syu’bah pun berkata: “Telah berkata kepadaku Mansur, daripada Rib’i (bin Harash) daripada Abu Mas’ud (Al-Ansari), beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah S.A.W: “Jika kamu tidak malu, maka buatlah apa yang kamu mahu”.

Mendengar hadis tersebut al-Qa’nabi telah mencampakkan pisaunya dan pulang ke rumahnya. Dia mencurahkan semua nabiz yang ada di rumahnya. Dia meminta ibunya jika kawan-kawannya datang izinkan mereka masuk, beri mereka makan dan beritahu yang dia telah membuang semua nabiznya agar mereka tahu dan pulang. Lalu Al-Qa’nabi pergi ke Madinah yang merupakan tempat kelahirannya dan berguru dengan al-Imam Malik bin Anas. Dan, itulah satu-satunya hadis yang diriwayatkan oleh al-Qa’nabi daripada Syu’bah.

Artikel ini dimulakan dengan kisah ini kerana satu hadis itu, agar difahami latar belakang dan khazanah sejarah bagi teladan dan contoh bagi semua orang terutama umat Islam.

Manusia hilang maruahnya

Dalam kehidupan seharian kita, ungkapan atau kata-kata seperti “Ikut suka aku la nak buat apa” pasti pernah kita dengar atau kita sendiri yang sebutkan kepada orang lain. Pada satu sudut, kita mungkin boleh kaitkan dengan hadis yang telah diriwayatkan oleh Syu’bah tadi kepada al-Qa’nabi.

Ertinya, Orang yang ada berfikiran untuk buat mengikut apa saja yang dia inginkan adalah orang yang telah hilang rasa malu pada dirinya. Pada saat dunia yang semakin canggih teknologinya menuju hari kehancuran, kita dapat melihat gelagat insan yang telah pudar rasa malu dalam kelakuannya.

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah radiallahu ‘anh, bahawa Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya: “Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian pada waktu pagi dia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Dia berkata, Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu. Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah”– Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Melihat Ungkapan dari perspektif lain

Namun, dalam sudut yang lain, kita dapat juga memahami ungkapan seperti itu terhasil daripada satu perasaan yang terpendam. Rasa ketidakpuasan hati yang ingin dimanifestasikan dalam bentuk pemberontakan. Timbul persoalan, tidak puas hati tentang apakah ini?

Apabila kita menyelusuri perjalanan dunia ini melalui ilmu sejarah, kita akan mendapati bagaimana manusia menggunakan satu perkara untuk menyekat orang lain yang tidak disukainya, menghalang perkembangan minda manusia dalam bersosial dan beragama, dan menyuburkan kezaliman dalam masyarakat demi memuaskan nafsu dan kepentingan diri. Perkara itu tidak lain dan tidak bukan ialah kuasa.

Manusia yang berada di tampuk pemerintahan berhadapan ujian yang getir, untuk merealisasikan harapan rakyat marhaen di samping memenuhi kehendak diri sendiri. Ada sahaja pemerintah atau pemimpin yang berkuasa yang sanggup menangkap dan menahan orang lain yang tidak sebulu dengannya, apatah lagi yang dianggap memberi ancaman pada survival politik atau ideologinya. Disekatnya media massa sehingga menjadi berat sebelah kepada pihak mereka sahaja, juga memfitnah dan memutar belitkan fakta berkaitan musuhnya.

Ditekannya rakyat dengan pelbagai dasar dan polisi serta undang-undang agar dipatuhi dan diikuti, berhujahkan untuk melindungi negara, memelihara keamanan dan sebagainya. Segalanya telah ditetapkan dengan penuh keseragaman yang tidak boleh terkeluar daripadanya. Maka, lahirlah generasi baru daripada sistem pendidikan yang dirogol dan dirosakkan oleh manusia berkuasa yang rakus dan alpa.

Kuasa agama

Hal yang sama juga turut melibatkan dengan golongan agamawan yang mempunyai kedudukan dan jawatan. Sebahagiannya mempunyai kemahuan dan nafsu yang ingin dipuaskan. Dimarahnya orang yang bertanya walaupun dengan adab dan akhlak yang baik. Dituduhnya tidak hormat ‘ulama, wahabi dan sebagainya. Ada pula yang menegah banyak bertanya, dengan disebutkan kisah Bani Israel yang dimurkai Allah.

Adakah agama tidak membenarkan bertanya? Agama ini hanya benar pada satu jalur sahajakah? Tiadakah cara pemahaman dan praktikal yang lain, kerana dalam kalangan ‘ulama pun ada berbeza pendapat? Terduduk dan terfikir pemuda itu dek layanan sebegitu rupa oleh mereka yang berkeahlian dalam menjawab bab agama.

Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ أَرِنِى ڪَيۡفَ تُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰ‌ۖ قَالَ أَوَلَمۡ تُؤۡمِن‌ۖ قَالَ بَلَىٰ وَلَـٰكِن لِّيَطۡمَٮِٕنَّ قَلۡبِى‌ۖ قَالَ فَخُذۡ أَرۡبَعَةً۬ مِّنَ ٱلطَّيۡرِ فَصُرۡهُنَّ إِلَيۡكَ ثُمَّ ٱجۡعَلۡ عَلَىٰ كُلِّ جَبَلٍ۬ مِّنۡہُنَّ جُزۡءً۬ا ثُمَّ ٱدۡعُهُنَّ يَأۡتِينَكَ سَعۡيً۬ا‌ۚ وَٱعۡلَمۡ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬

Maksudnya: “(Ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Bukankah engkau sudah beriman?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana. – Surah Al-Baqarah; QS2:260

Raikan persoalan yang sangat real

Sikap yang tidak meraikan persoalan yang bermain dalam fikiran yang sedang berkembang dalam kalangan kanak-kanak atau anak muda dalam proses membentuk jati diri untuk beragama dengan rasional dan benar-benar ikhlas bukannya dogmatik semata-mata, membuatkan ada yang kecewa dengan Islam, bahkan ada yang ingin murtad.

Persaingan dalam kelompok atau aliran agama menyebabkan mereka yang mempunyai kuasa bertindak menyekat puak yang tidak sependapat dengan mereka, sama ada bersifat institusi atau tempat, juga di pihak jabatan dan Majlis Agama Islam itu sendiri.

Meraikan kepelbagaiaan dianggap menghampiri fahaman pluralisme, kerana kebenaran itu hanya satu. Bagi mereka, puak-puak yang sesat dan menyeleweng mesti dihalang daripada berbicara yang hanya akan mengelirukan orang awam. Hanya mereka yang diberikan tauliah boleh bercakap tentang agama di premis-premis awam.

Sejauh mana sekatan itu menyelamatkan masyarakat daripada terkeliru atau terpengaruh dengan ajaran yang disekat itu? Hal ini kerana dunia hari ini sangat terbuka dan mudahnya sesuatu ilmu dan maklumat tersebar. Berapa ramai orang yang naik geram, tatkala mengetahui melalui internet akan perkara yang disembunyikan atau disekat daripada pengetahuan mereka selama ini?

bahasa

Terlalu bergantung pada orang lain

Pada sudut yang lain, sebahagian orang yang tidak lagi mampu berfikir dengan rasional bagi sesuatu persoalan sehingga semuanya bergantung kepada orang lain. “Ustaz, apa hukum kalau saya naik kereta pada waktu tengah malam, dan saya potong lampu isyarat sebab takde kereta lain masa tu?”.

Sheikh Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi yang lebih dikenali sebagai Imam Birgivi(1522-1573M) memberikan satu sebab yang unik dan menarik, ketika mana menganjurkan umat Islam belajar Bahasa Arab. Iaitu, agar seorang Muslim itu tidak terlalu bergantung dengan orang lain untuk memahami agamanya. Kita akan lemah jika selamanya bergantung kepada orang lain untuk memahami agama sendiri.

Sebahagian orang melihat fenomena ini dan merasakannya ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Malah, ada yang dengan tegas bercampur rasa geram menolak kejumudan golongan seperti ini dan menuntut kepada kebebasan bersuara dan berlapang dada dalam perbezaan, sehingga dilabel liberal.

Usaha perubahan

Munculnya individu-individu yang membentuk kumpulan yang ingin melakukan perubahan, merupakan salah satu misi pemberontakan sebagai tindak balas kepada sikap penguasa yang mengawal fikiran masyarakat sehingga individu terkepung dalam kongkongan budaya kolektif yang buruk ini.

Gerakan reformasi di Malaysia misalnya muncul daripada proses permodenan, pendidikan akibat regim manusia yang gila kuasa. Perkembangan arus perubahan ini mencapai tahap klimaksnya ketika mana berlaku pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan.

Dalam sejarah agama Kristian pula contohnya, kekuasaan Gereja Katolik sehingga mengongkong kehidupan manusia di Eropah yang mengheret mereka berada dalam zaman gelap, dibalas dengan lahirnya sekularisme dan mazhab Protestant, yang pastinya memberikan banyak pengajaran buat kita umat Islam.

Ingin dinukilkan di sini kata-kata seorang aktivis, penulis dan wartawan iaitu Fathi Aris Omar dalam buku terbarunya “Agong Tanpa Tengkolok”:

Sedangkan dengan ruang kebebasannya, individu boleh menyuburkan minat, daya usaha dan tanggungjawab diri(self-discipline). Di ruang ini, manusia dibenarkan berkhayal dan memuaskan diri sendiri sebelum realiti kehidupan(kolektif) memaksanya bersikap realistik, menghormati orang lain dan berumahtangga

Menjadi soleh dan musleh

Pemberontakan yang terhasil mestilah diuruskan dengan baik agar tidak memberikan penyesalan pada diri kelak, kerana tidak semua pemberontakan itu mesti bersifat agresif dan jelas kelihatan. Bagi yang melihat pemberontakan insan, cuba fahami dari sudut psikologi dan sejarah akan apa yang telah dilaluinya, bukan terus menghukum dan merendahkannya.

Budaya membaca dengan nama Tuhan tanpa disekat bahan bacaan mestilah disuburkan bagi membentuk diri yang tajam pemikirannya, luas pandangannya dan halus perasannya.

Perubahan itu sememangnya mengambil masa yang panjang untuk menampakkan impak yang jelas, dan ia hendaklah bermula dengan diri sendiri. Dalam bahasa lain, proses dakwah dan tarbiah mestilah terus dijalankan dengan baik, demi melahirkan individu yang sememangnya unik dan sihat akalnya.

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah radiallahu ‘anh, bahawa Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُوْرِ مِنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذٰلِكَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْئًا ، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ أَثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لاَ يَنْقُصُ ذ لِكَ مِنْ أَثَامِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka baginya ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangi sedikit pun. Barangsiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka (dibebankan) ke atasnya dosa sama seperti dosa orang yang megikutinya dengan tidak dikurangi sedikit pun” – Hadis Riwayat Muslim

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: