Anwar Ibrahim: Sosok besar dalam politik Malaysia

Semalam, Mahkmah Persekutuan telah pun memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah dalam kes liwat 2 yang telah berlarutan sejak tahun 2008, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun. Pelbagai reaksi yang diberikan oleh kawan mahupun lawan, termasuk rakyat marhaen yang bercampur baur perasaan dan harapan.

Ulasan ini ingin dimulakan dengan satu ayat al-Quran yang agak menarik untuk difikirkan, yang merupakan keterangan Allah SWT tentang Permaisuri Saba’ semasa menyuarakan kekhuatiran beliau berkenaan kedatangan Nabi Sulaiman AS, maksudnya: “Dia(Permaisuri Saba’) berkata: Sesungguhnya raja-raja apabila mereka masuk ke sebuah negeri, mereka akan merosakkannya, dan menjadikan golongan terhormat di negeri itu terhina. (Hakikat sebenarnya, memang) demikianlah kebiasaannya yang raja-raja itu lakukan!” [Surah an-Naml, QS 27: 34]

Setia dengan kebenaran

Ayat ini adalah satu bentuk tarbiah yang penting dan besar untuk kita garap, hadam dan amalkan dalam kehidupan seharian. Kehidupan ini adalah satu perjalanan dalam mencari dan setia bersama dengan kebenaran. Benar kita berada atas petunjuk apabila kita menerima dan yakin dengan Islam, tetapi terdapat cabaran dan rintangan dalam beramal mengikut ajaran agama Tuhan itu sendiri.

Adakalanya kebenaran itu diungkapkan oleh seorang yang dikatakan kafir, tetapi ia diiyakan kerana ia memang benar. Itulah apa yang Allah sebutkan dalam ayat di atas. Bukannya ditolak dengan sangkaan buruk yang ditolak oleh Islam. Firman Allah Ta’ala, maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kamu semua dari sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa..” [Surah al-Hujurat, QS 49:12]

Siapa Anwar Ibrahim?

Saya secara peribadi bukanlah peminat tegar insan yang mendapat liputan ramai 2-3 hari ini, jauh sekali pembencinya. Namun, nama Anwar Ibrahim tidaklah asing dalam kancah politik tanah air tercinta ini yang dikenang sepanjang zaman.

Seorang yang pernah seketika dahulu menjadi tunjang dan akar dalam gerakan mahasiswa pada zaman mudanya, terutama apabila menjadi presiden ABIM(1974-1982), yang mana kemudiannya berijtihad membuat keputusan untuk bersama UMNO.

Berkecimpungannya beliau selama 16 tahun dalam parti yang memerintah, memberikan pengalaman yang berharga dalam karier politik beliau. Pernah berjawatan sebagai Timbalan Menteri, Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (1982-1998) banyak mengundang kontroversi terutama terhadap masyarakat bukan Melayu, tidak kurang berkaitan jasa dan sumbangan beliau (walaupun ada perbezaan pendapat) kepada pembangunan modal insan, seperti penghantaran pelajar cemerlang SPM untuk mengambil bidang agama.

Sikap ‘diktaktor’ Tun Dr Mahathir Mohammad ketika memegang jawatan Perdana Menteri telah melahirkan individu-individu yang membentuk kumpulan yang ingin melakukan perubahan. Ia tidalah lain, melainkan salah satu misi pemberontakan sebagai tindak balas kepada sikap penguasa yang mengawal fikiran masyarakat sehingga individu terkepung dalam kongkongan budaya kolektif yang buruk ini.

Gerakan reformasi di Malaysia yang muncul daripada proses permodenan menemui saat klimaksnya,ketika mana berlaku pemecatan beliau dari kerajaan pada 1998, yang kemudiannya dituduh dengan kes liwat.

Pada ketika itu, gerakan masyarakat madani yang sebelumnya kelihatan kurang menyerlah mula memberikan impak yang agak jelas dengan wujud kerjasama pemimpin masyarakat dengan parti-parti pembangkang yang membentuk Barisan Alternatif(BA) dalam satu lawan satu dengan Barisan Nasional(BN) pada Pilihan Raya Umum ke-10, yang menyaksikan Terengganu jatuh ke tangan BA selain Kelantan kekal di bawah PAS, dan peningkatan kerusi di dewan rakyat daripada 30 ke 45.

Selain itu, sikap beliau yang menjaga hubungan dengan para ilmuan Islam seperti Sheikh Yusuf al-Qaradawi sangat menarik untuk kita muhasabah dalam kehidupan kita. Apakah ustaz dan agamawan hanya untuk kita mendengar ceramah, kemudian kalau persoalan feqah, barulah kita akan hubungi atau tunggu kuliah mereka untuk bertanya. Setakat itukah peranan mereka?

Satu lagi kelebihan yang ada pada diri beliau ialah sifat berkarisma tinggi dan kelicikan dalam taktikal politiknya, berjaya menyatukan tiga parti, PAS, PKR dan DAP setelah keluar dari penjara untuk menghadapi Pilihan Raya umum ke-12 pada 2008, selepas Barisan Alternatif menemui perpecahan dan ketidaksepakatan, sehingga BN memang besar pada 2004 di samping faktor ‘slogan’ Islam Hadhari yang digunakan oleh Perdana Menteri yang baru naik ketika itu, iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sistem dua parti: Ke arah politik yang lebih matang

Bukanlah saya benci atau harapkan bala kepada pemimpin BN, tapi saya amat harapkan perubahan landskap politik ke arah politik yang lebih sihat menggunakan akal dan hujah, bukan sentimen perkauman dan permusuhan. Dan, ia mampu tercapai dengan berlakunya perubahan di tampuk pemerintahan peringkat persekutuan.

Jikalau kita lihat di barat seperti di England, pertukaran parti yang memerintah bukanlah sesuatu yang pelik, malah biasa. Hal ini antara lain menunjukkan kekuatan gerakan masyarakat madani(civil society) dan berjaya menundukkan kerajaan untuk mengikut pilihan majoriti rakyat, bukan sebaliknya.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan sistem dua parti yang cuba diamalkan di negara kita yang tercinta ini. Namun, setuju ataupun tidak, setiap daripada kita harus memainkan peranan dalam membantu usaha perubahan ke arah membentuk persekitaran masyarakat yang positif dan cakna dengan isu semasa dengan lebih kritis.

Dan, kefahaman dan ketelitian terhadap perkara seperti ini mesti dibekalkan dengan dakwah dan tarbiah, yang mencakupi makna dan manifestasi yang sangat luas untuk dipraktikkan.

Peranan anak muda

Ramai golongan atau generasi baru agak skeptik dan kecewa dengan iklim politik negara kita sejak 2-3 tahun ini yang sangat mengecewakan, baik dari BN mahupun Pakatan Rakyat(PR).

Oleh sebab Pakatan Rakyat merupakan manifestasi harapan beberapa generasi rakyat Malaysia ke arah perubahan dan kemakmuran bagi negara, maka anak muda terutamanya harus tampil ke hadapan, sama ada bersama PR, atau bergerak atas nama masyarakat madani, untuk membantu dalam merealisasikan impian masyarakat untuk menghirup udara perubahan.

Generasi lama dalam politik pula tidak seharusnya menafikan keperluan untuk memberikan peluang kepada para pelapis pemimpin ini untuk mencari ilmu dan pengalaman dalam berbakti kepada masyarakat. Parti yang hanya dimonopoli oleh “orang tua” akan mengalami masalah besar terutamanya ketika kempen pilhan raya untuk memenangi hati anak muda.

Penutup

Pakatan Harapan Rakyat mesti berubah dalam mengutamakan kepentingan rakyat, daripada bertelingkah sesama sendiri, lebih-lebih lagi di media sosial. Hal ini hanya akan menghancurkan harapan rakyat, yang sebahagiannya akan menolak terus kedua-dua BN dan PR, dan mungkin memilih tidak mengundi pada PRU akan datang.

Dua prinsip asas yang telah menjadi rahsia kejayaan Pakatan dalam masa enam tahun lalu perlulah diperkasakan, iaitu kepatuhan terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah menjadi batu asas prinsip-prinsip yang dikongsi ketiga-tiga parti komponen, serta prinsip beroperasi secara konsensus dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai badan pembuat dasar tertinggi dalam Pakatan.

Inilah peluang terbaik untuk pimpinan PR merapatkan saf dalam perjuangan atas prinsip yang dipersetujui. Ia akan dilihat sebagai satu hikmah terbesar pasca pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan memberikan kebimbangan kepada pemimpin BN menjelang PRU14 tiga tahun lagi.

Soal benarkah beliau bersalah dalam kes ini, itu adalah urusan dia sendiri, mereka yang terlibat dalam pendakwaan, dengan Allah Ta’ala. Setiap insan ada sisi baik buruknya, yang baik kita akui, yang salah kita doakan agar Allah buka hati kita untuk maafkannya. Ada saja keburukan beliau yang boleh disebutkan, tetapi saya pilih untuk tidak.

Kehidupan mesti diteruskan, reformasi mesti diperkuatkan, untuk memperbaiki keadaan yang kelihatan bercelaru dan berserabut, dalam menjadikan Malaysia sebagai negara rahmah. Kelangsungan dakwah yang semakin berkembang hari ini antara lain adalah sumbangannya, dan kita adalah sebahagian daripada penyumbang mata rantai dalam perjuangan dakwah.

Manusia itu datang dan pergi, kita juga akan kembali kepada Tuhan. Dan, kita akan dipersoalkan atas usaha dan tindakan kita selama mana kita hidup di dunia yang sekejap sahaja ini. Kita boleh memilih untuk berdiam diri yang hakikatnya seakan “bersetuju dengan kezaliman”, atau berbuat sesuatu wakil kecil dan sedikit, tetapi dengan ramainya yang begitu, akan menghasilkan sesuatu yang besar.

Moga Allah sentiasa rahmati kita, dan ampuni keterlanjuran kita dalam hidup di dunia yang sementara ini. Amiin.

Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman
Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah
IKRAM Siswa Nasional

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: