ISIS: Organisasi Skim Cepat Kaya? – Abdul Rahman Shah

Fenomena kumpulan militan Negara Islam Syria dan Iraq (Isis) atau Isil atau Is menjadi isu nasional sejak akhir-akhir ini kerana di katakan rakyat Malaysia juga berjuang bersama mereka. Beberapa gambar dan video yang dikatakan sebagai ahli Isis yang bertandang dari Malaysia sudah tersebar luas di media sosial.

Ada yang memuji mereka kerana berjihad, ada yang mengkritik mereka sebagai delusional, dan ada juga yang tidak tahu untuk berkata apa, sebab isu Isis ini sangat kompleks, mendalam dan pelik.

Kenapa pelik? Kerajaan-kerajaan di Eropah dan Amerika kini mula menghantar geran yang besar kepada universiti-universiti untuk mengkaji fenomena ini, kenapa rakyat mereka, yang menganuti Islam terutama, sedang lari dari hidup yang “agak” baik, untuk menyertai kumpulan militan yang haus darah?

Kajian-kajian tentang kejadian ini banyak berbalik kepada cara hidup orang Islam di negara-negara barat. Mereka berhadapan diskriminasi daripada masyarakat tempatan. Mereka sukar mengadaptasi hidup sebagai seorang Muslim dalam hal-hal konteks hidupan seharian, seperti solat lima kali sehari terutama apabila tiada surau di pejabat, atau sekolah, tiada masa terluang diberikan khas untuk pergi solat.
Contoh lain, ahli-ahli sukan semasa Ramadan kena pilih untuk tidak berpuasa, seperti Mesut Ozil, pemain bola sepak untuk Arsenal dan pasukan nasional Jerman, atau ada juga yang berpuasa tetapi perlu diperhatikan secara kerap oleh jurulatih kecergasan untuk memastikan dia tidak mengalami dehidrasi yang teruk, seperti Husain Abdullah, pemain bola sepak Amerika untuk pasukan Kansas City Chiefs.

Apa yang ingin dikatakan di sini adalah, umat Islam di negara-negara barat terutama perlu mengadaptasi hidup harian mereka lebih daripada mereka di negara Islam supaya dapat hidup secara seorang Muslim yang baik.

Jadi akan ada mereka yang berasa penat, atau tidak merasakan semangat kerohanian dalam diri, terasa Islam yang mereka mengikuti adalah ritual semata-mata, bertambah dengan krisis identiti yang mereka mungkin alami semasa zaman remaja, isu-isu tentang kehidupan dan Islam yang mereka tidak dapat selesaikan, retorik-retorik ustaz tempatan atas bagaimana indahnya syurga dan bagaimana hidup di dunia ini tidak penting, hidup di akhirat lebih penting.

Cuba bayangkan, seorang anak muda (atau semasa dia muda mengalami dilema ini), mengalami sebuah dilema dalam eksplorasi kerohanian yang terbatas kerana kekurangan sumber rujukan yang sahih, sistem hidup kini dianggap sebagai prejudis terhadap orang Islam, ibu bapa yang mengejar material untuk anak-anak tetapi dalam proses lupa tentang anak-anak, masyarakat yang membuta, membisu, dan memekakkan diri tentang tidak keadilan yang berlaku – datang Isis dengan propaganda hidup lebih baik daripada dulu, janji mengubah sistem, janji pahala dan syurga, janji bentuk material, janji apa yang mereka buat itu adalah jihad sebenar.

Berapa ramai yang dapat menolak janji-janji sebegini terutama apabila hidup sudah mula berputus asa?

Dimensi naratif di atas mungkin berbeza bagi mereka dari negara Islam itu tersendiri, terutama negara-negara yang lebih “moderat” seperti Malaysia dan Indonesia, rasa tidak puas hati dengan sistem, mahupun masyarakat, atau keadaan sosial mungkin lahir dari dimensi yang berlainan, tetapi penulisan ini mahu membawa fenomena Isis kepada suatu pandangan atau perspektif yang berbeza, iaitu persamaan dengan skim cepat kaya.

Skim cepat kaya

Metodologi kumpulan-kumpulan skim cepat kaya sangat mudah untuk dilihat, mereka akan menghantar ahli-ahli mereka yang muda kepada anak muda, orang tua kepada orang tua, dengan kereta-kereta berkuasa tinggi, dengan pemakaian yang kemas dan profesional untuk menunjukkan status mereka, dengan skrip-skrip janji-janji retorik yang menyertai ponzi scheme mereka akan menjadi kaya dengan cepat dengan usaha yang minimal.

Kebiasaannya skim ini akan menyerang pelajar universiti/kolej daripada keluarga kelas bekerja dan menjanjikan mereka boleh berbakti semula kepada ibu bapa yang bersusah-payah menghantar mereka ke universiti/kolej.

Janji kamu boleh hidup mewah serta berbakti semula kepada dua orang tua dengan cara sangat mudah, iaitu mencari downline, untuk mereka yang terdesak, mudah untuk mempercayai janji-janji ini.

Mereka yang mungkin tidak tertipu mungkin pernah tanya, dari mana datangnya duit dan resit yang ditayang di media sosial itu? Terutama apabila kamu tidak menjual apa-apa?

Di sinilah ponzi scheme, atau multi-level marketing masuk, duit yang kamu bayar untuk masuk dan kelas-kelas keusahawanan itu yang akan disebarkan daripada orang paling atas ke orang paling bawah.

Oleh itu, kamu perlu mencari downline yang banyak supaya sumber wang tidak habis. Benda paling menarik dengan kumpulan ini adalah, mereka sanggup menipu untuk menjadi kaya.

Jika gagal, duit tidak akan masuk, akan berhutang banyak untuk membayar kos kelas dan perjumpaan, dan akhirnya bankrap.

Orang-orang skim cepat kaya akan mempengaruhi kamu sehingga kamu percaya yang begitu mudah untuk mendapat duit, keluar daripada kemiskinan, melawan sistem yang kononnya dikuasai bangsa tertentu, dan bangkitlah bangsa “kita” bersama-sama.

Salah satu variasi yang boleh dijumpai dalam skim-skim ini adalah variasi agama, di mana mereka akan janjikan kesenangan dunia dan akhirat kalau menyertai mereka. Di sini masuknya Isis, mahupun mana-mana kumpulan pelampau bersenjata seluruh dunia.

Isis juga menjanjikan retorik-retorik bahawa begitu mudahnya kamu boleh masuk syurga, membuat apa yang Rasulullah SAW buat, membuat apa yang Allah SWT turunkan dalam Quran, hidup sebagai seorang Muslim yang bebas, hidup kamu kembali kepada kamu, berjihad, membunuh musuh Islam, yang kamu akan hidup bahagia di akhirat.

Mereka akan menjual syurga, pahala, jihad, perkataan “Islamic State” itu tersendiri dan merekrut anak-anak muda (atau tua) yang mempunyai krisis untuk menyertai mereka.

Dengan faktor-faktor yang dinyatakan pada perenggan-perenggan awal, kamu akan nampak kenapa Isis menjadi pilihan, terutama untuk orang-orang muda dari seluruh dunia untuk menyertai mereka.

Ramai mungkin tertanya, mengapa si doktor, jurutera, si kaya juga, ramai menyertai Isis? Jawapan mudah, tidak semestinya orang yang berstatus dan kaya tidak mempunyai krisis-krisis emosi, dan juga kerana Isis sedang menjual akhirat, mereka mungkin semasa muda tidak menjadi seorang Muslim yang baik, atau berasa usaha mereka tidak cukup baik, atau rasa bersalah kerana kerohanian mereka hanyalah ritual.

Mereka menyertai Isis dengan janji jihad, setiap langkah mendapat pahala, setiap peluru mendapat pahala, kalau kamu mati, kamu mati syahid, tiket percuma ke syurga dengan bidadari-bidadari fantasi.

Tetapi Isis juga unik, mereka juga menjanjikan perkara-perkara material seperti wang, kuasa dan seks. Apabila keseronokan dunia bercampur fantasi di syurga, kamu akan melihat Isis sebagai sebuah syarikat korporat yang mempunyai jabatan pengiklanan yang hebat.

Umat Islam sendiri, terutama dalam dunia kini mula melihat konsep pahala dan dosa dalam bentuk kewangan, bentuk ekonomi, kalau tidak, tidak mungkin akan ada yang bertanya – “kenapa menderma pada hari Selasa, apabila pahala digandakan pada hari Jumaat”, atau “kenapa berpuasa pada hari Selasa, apabila sunnah pada Isnin dan Khamis, lebih banyak pahala”.

Atau juga, “kalau panggil ustaz/sheikh besar lebih bagus daripada ustaz/sheikh kecil, doa mereka lebih cepat sampai, dan berzikir dengan mereka akan mendapat rahmat yang lebih”, atau, “minum jus oren yang dibaca 30 juzuk lebih baik daripada minum jus biasa”, atau juga, “saya membuat kerja-kerja ini untuk mengumpul pahala/saham ke syurga” – pahala itu sendiri sudah menjadi konsep mata wang untuk “membayar” di akhirat nanti, ramai di antara kita sedang mengira pahala secara sedar atau tidak, dan pemikiran sebegini akan kembali kepada cara paling mudah untuk mendapat pahala/ke syurga.

Boleh dikatakan pemikiran melihat pahala dari segi yang “ekonomik” ini boleh terjadi dalam spektrum yang paling ringan kepada paling ekstrem.

Berkongsi atau menulis status Facebook yang akhirnya ditulis dengan “like dan share kalau kamu cintakan Rasul dan Allah SWT” di sisi yang paling ringan kepada sisi yang lebih ekstrem, seperti menyertai puak-puak pelampau dan memikirkan setiap saat kamu berjuang bersama mereka akan mendapat pahala-pahala yang berganda.

Ramai kini tidak berpuas hati dengan sistem ekonomi, politik dan sosial yang mereka berada dalam, ketidakpuasan hati ini berserta tidak kestabilan emosi bercampur janji-janji jalan mudah ke syurga bercampur sudah hampir berputus asa dalam hidup, yang menghidupkan Isis sebagai sebuah syarikat yang menjual janji-janji retorik kerohanian dalam Islam untuk menjustifikasikan keganasan-keganasan yang mereka lakukan.

Di sini timbul sebuah persoalan, bagaimana kita dapat mengubah sistem yang mungkin sedang menindas ini, mengubahnya ke arah yang lebih baik, tanpa menyertai puak-puak pelampau yang inginkan peperangan, kematian, fantasi-fantasi syurga, dan kerosakan alam?

Komunikasi, komunikasi, dan komunikasi. – 7 Mac, 2015.

*Penulis ialah graduan jurusan Psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia 

*Artikel ini disiarkan di  The Malaysian Insider pada 7 Mac 2015

Bagi komen sikit...

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: