Usah sibukkan diri dengan isu, tapi belajar dalami disiplin ilmu..

Orang yang mendalami sesuatu bidang ilmu begitu berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat, kerana mereka tahu limitasi pengetahuan mereka dan etika yang perlu dijaga. Oleh sebab itu, mereka tak gemar mengulas isu-isu semasa, apatah lagi jika ia bukan dalam bidang yang mereka dalami dan kuasai.

Kita sebagai orang awam (macam aku), yang tak ada kelulusan akademik dalam mana-mana bidang, sepatutnya lebih insaf dalam mendepani isu-isu yang muncul di media sosial.

Sikap suka mengulas dan memberi komen dalam semua isu yang timbul mestilah dihindari dan tidak dijadikan satu tabiat. Belajar untuk bersabar daripada berkata-kata tanpa mengambil kira kekurangan ilmu yang kita miliki.

Bak butir-butir nasihat yang selalu dikongsikan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, iaitu jauhi daripada selalu sibukkan diri dengan isu tapi, tapi sibukkan diri belajar dengan disiplin ilmu. Selalu sibukkan diri dengan menimba ilmu menerusi isu semasa bukanlah satu proses belajar yang baik, kerana bukan ilmu semata-mata saja yang penting, tapi prosesnya dalam mengikut disiplin ilmu juga penting.

Musibah yang terjadi apabila kita selalu sibuk tenggelam dengan isu adalah kita berasa kita sudah cukup dengan ilmu yang kita dapat, padahal ia masih belum cukup dan mungkin kelihatan kelompongan jika dipandang dari sudut disiplin ilmu sesuatu bidang itu. Belajar sikit-sikit pun sebenarnya tak mengapa, malah lebih baik, asalkan mengikut proses dan acuan disiplin ilmu yang betul.

Bergurulah dengan guru yang ‘alim, dan bacalah buku yang bermanfaat untuk perbaiki keberagamaan kita.

Moga Allah sentiasa berikan kita ilmu yang bermanfaat, rezeki yang berkat dan amalan yang diterima di sisi-Nya, amiin.

Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman,
Hamba Allah yang bercita-cita untuk kuasai satu cabang dalam bidang psikologi (tolong doakan aku, huhu).

No comment?